Pengumuman~!

Selamat datang ke Ceritera Minda Kayangan! Sebenarnya blog ini masih dalam pengubahsuaian.. Sebab blog yang asal sebenarnya di sini; Berikanku Cahaya. Jadi, 'perpindahan' ke sini memerlukan saya menyesuaikan diri di blog baharu.

Saturday, November 15, 2008

THE PAST [5]

CINTA DALAM ERTI KATA??


[Edisi Belum Edit]





"Alhamdulillah, syukran Nadiah dan Yaqin bersetuju menjadi penggerak dakwah kelab Khairul Insan ini. Moga diberi ganjaran yang setimpal oleh-Nya," ujar Kak Nurun dengan perasaan gembira.


Ainil Yaqin hanya mengangguk. Pada mulanya terpegun dengan wajah anggun yang dimiliki oleh Kak Nurun. Wajahnya tampak bersih dan tenang. Matanya redup berbinar dan berbulu mata lentik bagai hendak bergulung. Kulitnya berwarna hitam manis dan imej muslimahnya menonjol. Bertudung labuh yang berwarna biru, berbaju kurung biru yang berkancing di pergelangan tangan, disertai dengan handsocks atau stokin tangan berwarna biru cerah. Pakaiannya seperti pelajar-pelajar di sekolah menengah agama.


"Afwan. Maaf mengganggu Kak Nurun nak study. Maklumlah nanti peperiksaan OTI tak lama lagi. Kami dah nak gerak dulu kak," pinta Nadiah berhemah. Nadiah mengukirkan senyuman manis. Sedari tadi, langsung tiada seorang yang melalui koridor yang menjadi pertemuan mereka di luar kelas Kak Nurun, Tingkatan 4 Efektif. Kelasnya bersih sekali. Di dalam kelas tersebut terdapat beberapa orang pelajar perempuan yang kelihatan sedang berbincang bersama sambil menatap buku latihan di tangan masing-masing.


Dinding bilik darjah itu diwarnakan dengan ungu lembut. Silingnya berwarna putih kosong. Papan putih bersih tanpa contengan whiteboard marker. Papan kenyataan di kiri dan kanan papan putih tersebut penuh dengan kertas-kertas putih dan manila kad yang tertera sebagai jadual sekolah, jadual bertugas, moto, visi dan misi sekolah. Ainil Yaqin tidak dapat memerhatikan dengan lebih lagi kerana Nadiah telah memberi amaran, menyuruhnya jangan terlalu memandang sana sini sebelum menuju ke blok ini sebentar tadi.


Dia juga sebenarnya tidak ingin berada lama di Blok Asteroid ini, blok bangunan tiga tingkat khas untuk pelajar menengah atas; tingkatan empat dan lima. Entah kenapa, gerun apabila kaki ini menginjak di sini yang kadang-kala berpapasan dengan pelajar-pelajar senior.


"Akak tak terasa terganggu langsung. Malah gembira dengan kehadiran Nadiah dan Yaqin yang membawa perutusan gembira. Ah, kamu berdua pasti nak pergi study jugak kan? Tunggu sebentar di sini," Kak Nurun masuk semula ke dalam kelasnya, menuju ke tempat duduknya di dalam kelas dan meraba mencari sesuatu di dalam laci meja. Kak Nurun menghampiri mereka dengan membawa sekarung plastik berwarna hijau yang di dalamnya entahkan apa yang terisi.


"Kuih lapis yang diberi oleh tuan kantin tadi. Dah rezeki kamu, ambil sajalah. Jangan risau, masih banyak lagi ada pada akak," jelas Kak Nurun sambil menyerahkannya kepada Nadiah. Nadiah tahu dia tidak dapat menolaknya.


"Terima kasih kak. Kami gerak dulu. Assalamualaikum," Ainil Yaqin mengakhiri pertemuan yang tidak dirancang ini.


"Waalaikumussalam."


Ainil Yaqin berjalan pantas meninggalkan Nadiah beberapa langkah dari belakang.Ingin cepat sampai ke kelas. Nadiah berusaha berjalan seiring dengannya. Derap-derap kasut menghentam tangga satu persatu. Blok Asteroid telah ditinggalkan. Mereka melalui koridor di antara kantin dan Blok Fikrah, blok bangunan dua tingkat yang berwarna jingga pudar. Blok bangunan itu diisi oleh pelajar tingkatan satu. Setelah melepasi tiga bilik makmal sains, Blok Bestari terus kelihatan. Memang jarak perjalanan antara Blok Asteroid dan Blok Bestari agak jauh kerana masing-masing berada di tepian yang paling hujung di peta sekolah. Blok Bestari berada paling hujung di barat pada peta sekolah manakal Blok Asteroid berada di hujung timur dalam peta sekolah.


Anil Yaqin menaiki tangga termengah-mengah. Letih seolah-olah baru terlepas dikejar hantu. Nadiah turut tercungap-cungap menarik nafas di belakang. Sebaik sahaja terpampang papan tanda 3 Elektif, dia masuk dan terus menghempaskan punggung dan menyandarkan badan di kerusi tempat duduk. Nasyitah dan Darunee tidak terkejut melihat dia dan Nadiah meluru masuk ke dalam kelas, seakan-akan sedang menunggu mereka dari tadi. Atau mereka memang sedang menunggu?


"Ala, Qin! Awak lambat sebelas minit. Your Mr. Psycho had gone. Dia balik awal pula hari ni," bisik Nasyitah. Sekarang, hanya mereka berempat yang berada di dalam kelas. Ainil Yaqin malas melayan Nasyitah yang gemar menyakat. Dia cuba menarik nafas dan menghembusnya perlahan-lahan. Nadiah juga mengikuti caranya.


"Awak tahu Qin, orang macam awak ni memang jenis hati batu ke apa? Tak nampak ke 'si dia' sedang beri hint tu? Tengok, hari ni dia dah merajuk dengan awak!" Nasyitah terus mengasak.


"Pandai la awak buat kesimpulan sendiri, Syitah! Mana awak tahu Fathir tu minat kat Qin? Bercakap pun belum pernah," Darunee bersuara lantang. Ainil Yaqin mengipas wajahnya yang berpeluh dengan kedua belah tangan, cuba seolah-olah tidak mendengar apa topik yang sedang hangat diperbincangkan. Nadiah pula menghampiri mereka dan mengambil buku latihan mata pelajaran Geografi di atas mejanya yang sedang bercantum dengan meja mereka bertiga untuk study group hari ini. Nampaknya Nadiah juga tidak memberi respon akan kata-kata Nasyitah.


"Hei, saya ni pakar cinta! Korang tak tau lagi ke? Tak ingat lagi ke yang Fathir selalu gelarkan Qin dengan gelaran 'Ustazah Lapuk'. Itu salah satu cara seseorang lelaki beri hint pada seorang perempuan yang dia minat. Lagi satu, sejak dua menjak ni dia sering pulang lewat. Nak menatap buah hati dialah tu.. hehe,"


Ainil Yaqin mulai geram dengan andaian Nasyitah yang sudah mulai jauh menyimpang daripada hakikat yang sebenar. Hint? Nonsense! Itu bukan hint tapi cemuhan. Seolah-olah orang yang berpewatakan seperti dia dan Nadiah ini seorang yang kolot. Lapuk! Itu yang digelarnya saban hari. Apa yang diungkapkan Nasyitah tadi merupakan sebuah teori kemungkinan yang menakutkan.


"Syitah, jangan nak buat lawak tak menjadi awak kat sini. Marilah studyGeog, bab dua giliran awak pula yang menerangkannya, Syitah!" Mengubah haluan bicara.


"Tak nak selagi awak tak mengaku yang awak ni sebenarnya ada hati kat dia jugak ke atau awak memang dasar hati batu?!" kasar bahasa yang digunakan oleh Nasyitah walaupun dipertuturkan dengan nada biasa.


Terkejut. Kenapa dengan Nasyitah beria-ia sangat? Belum pernah Nasyitah menggunakan bahasa yang sekasar itu untuk berbicara bersama teman-temannya. Apakah kemahuan sebenarnya? Ainil Yaqin menjeling Nadiah dan Darunee. Melalui sorotan mata Nadiah, dia menyuruh Ainil Yaqin bercakap. Darunee pula sekadar mengangguk.


"Syitah, buat masa sekarang saya belum ada masa nak fikirkan soal 'lovey-dovey' ni. Dalam kepala saya masa ni, buat apa nak bercinta dalam usia mentah macam ni? Selagi kita bergelar pelajar, selagi itulah tugas kita ialah belajar. Cinta dalam usia kita ni hanyalah bersifat sementara atau lebih dikenali sebagai cinta monyet. Monkey love. Serius, saya sekarang mengunci hati saya rapat-rapat daripada mana-mana cinta palsu lelaki yang bersifat sementara," Ainil Yaqin berhujah dengan pegangannya seadanya. Nasyitah terdiam. Nadiah pula tersenyum tanpa memandang kepada. Segera menyambung;


"Lagipun, saya tidak ingin bercinta selagi tiada ikatan halal. Saya ingin bercinta dalam reda ALLAH. Saya ingin menikmati cinta selepas kahwin. Cinta tulus suami isteri yang mempunyai ikatan yang sah. Itulah yang saya pegang selama ini,"


Nasyitah kelihatan serius sambil menganggukkan kepalanya perlahan. Dia tampak masih belum berpuas hati. Langsung dia bersuara;


"Apa pendapat Nadiah pula tentang perkara ni?"


Nadiah tersenyum. Seolah-olah mengetahui bahawa Nasyitah akan menyoalnya pula. Apakah Nasyitah telah mengahadapi krisis hati berkenaan cinta? Cinta- sebaris perkataan yang menyebabkan diri menjadi lagha dan lalai daripada mengingati Tuhan. Sebaris perkataan yang cukup untuk orang yang merasainya merasa bahagia seolah-olah di dunia itu hanyalah milik mereka berdua sahaja. Atau yang lebih dahsyat, sehingga boleh membunuh orang yang tidak bersalah kerana kerakusan cinta. Agungkah cinta sebegitu? Tidak melainkan ia halal dan disandangkan melalui cinta ALLAH!


"Prinsip Qin lebih kurang sama macam Nadiah. Cuma Nadiah nak tambah sikit tentang bercinta ni. Apa yang mereka sebutkan sebagai couple itu sebenarnya trend dari Barat. Kita hidup beragama, beradat! Batas pergaulan mestilah dijaga. Zaman sekarang, jika diperkenalkan dengan batas-batas pergaulan dalam Islam, semuanya mencemuh. Mengongkonglah, ketinggalan zamanlah, kolot, macam-macam lagi." Nadiah menarik nafas sebelum menyambung.


"Nadiah pernah terjumpa satu kata-kata, kita tidak boleh mencintai orang lain sebelum mencintai diri. Dan kita tidak boleh mencintai diri sendiri sebelum mencintai ALLAH!. Buat apa terkejarkan cinta manusia sedangkan matlamat kita untuk ke arah itu belum sampai lagi? Tugas kita di sini ialah satu; BELAJAR." Nadiah menekankan kalimah terakhirnya. Nasyitah dkerling. Wajahnya mencuka.


"Bukankah sukakan seseorang yang berlainan jantina itu suatu fitrah? Takkan kita hendak menolak pemberian Tuhan?" soal Nasyitah sambil tangannya ralit memintal hujung tudung sekolahnya yang hanya dua inci bawah sedikit dari paras dada. Dia menggelongsor sedikit daripada bersandar di kerusi. Matanya menentang tepat mata Nadiah di hadapannya.


"Fitrah itu perlukan hidayah. Jika tidak, fitrah akan menjadi fitnah. Kena faham tujuan Allah berikan ujian berkenaan hati dan perasaan. Ya, memang sifat manusia ingin disayangi dan menyayangi. Namun, tetap ada batasannya. Perasaan yang dikurniakan itu satu nikmat dan juga merupakan satu ujian yang besar. Allah ingin menguji tahap keimanan seseorang itu dengan memberikan ujian hati. Perasaan itu tidak berdosa tetapi cara kita mengawal perasaan itulah yang menyebabkan kita berdosa," terang Nadiah lagi dengan sabar.


"Contohnya?" Ainil Yaqin pula mulai menyampuk. Nampaknya tujuan asal mereka hari ini tergendala disebabkan perihal soal yang melibatkan hati ini.


"Ingat lagi pantun dulu-dulu? Buang emak buang saudara, kerana kasih hamba turutkan. Ramai remaja di luar sana yang mengalami gelombang cinta ini melarikan diri bersama kekasih hati. Sanggup tinggalkan segala-galanya kerana cinta. Mereka merasakan bahawa itulah cinta sejati. Kolot! Itu sebenarnya bukannya cinta sejati melainkan cinta kolot yang tidak bersandarkan Islam yang sebenar-benarnya." Nadiah seolah-olah sedang marah apabila menerangkan soal 'cinta kolot' yang diterangnya.


"Benarlah kata pepatah arab, manusia akan menjadi hamba kepada apa yang dicintainya. Itulah fitrah yang akan menjadi fitnah, kan Nadiah?" Ainil Yaqin memberi respon positif. Nasyitah diam. Dia seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Terlupa seketika dia akan kewujudan Darunee sebentar tadi. Darunee hanya membisu menghadap buku teks Geografi di tangannya.


Nadiah mengerling jam dinding dalam kelas yang tersangkut di atas papan putih. Sembilan minit lagi untuk masuk pukul empat.


"Nampaknya dah lewat. Kita berjanji nak habiskan study group pukul empatkan?" Darunee tiba-tiba bersuara.


"Maaflah. Saya yang membuat kita semua menyimpang daripada tujuan asal hari ini," Nasyitah menundukkan kepalanya.


"Walaupun tak dapat study sama-sama hari ni, Qin rasa tetap dapat ilmu berkaitan dengan hati dan perasaan. Jazakillah Nadiah." Bersyukur mendapat kawan seperti Nadiah.


"Kita tetap mendapat ilmu yang bermanfaat hari ini. Syitah ada masalah apa-apa ke? Bolehlah ceritakan pada kami, apalah gunanya kawan," pancingnya. Nasyitah menggelengkan kepala lantas mengukir senyum di bibirnya.


Mereka bergegas berkemas, bersedia untuk pulang. Ainil Yaqin pulang bersama dengan Nadiah. Cikgu Hus, ayah Nadiah yang akan mengambil kami. Ayahnya merupakan seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kurian di pinggir Bandar ini. Sebelum berpisah, mereka bersalaman dan berpelukan.


"Maafkan Nadiah jika kata-kata Nadiah tadi membuatkan Syitah terasa hati," ujar Nadiah apabila melagakan pipinya ke pipi Nasyitah. Nasyitah cuma mengangguk.


"Nini dapat apa hari ini agaknya ya?" soal Darunee dengan nada bergurau. Mereka ketawa.


Nasyitah mungkin mempunyai masalah yang perlukan bimbingan. Harap-harap semoga dia dapat menyelesaikannya dengan jalan yang baik.


Cintailah yang memberi nikmat dan jangan engkau cintai nikmat yang diberikan-Nya.

~Ahli Sufi~



[bersambung..]

No comments:

Post a Comment