Pengumuman~!

Selamat datang ke Ceritera Minda Kayangan! Sebenarnya blog ini masih dalam pengubahsuaian.. Sebab blog yang asal sebenarnya di sini; Berikanku Cahaya. Jadi, 'perpindahan' ke sini memerlukan saya menyesuaikan diri di blog baharu.

Saturday, December 27, 2008

THE PAST [9]

HATI


[Edisi Belum Edit]


Hati ini sesuatu yang tidak boleh diduga. Akal dan hati sering bertelagah sesama sendiri. Kadang kala hati mengatakan perasaan halus itu tanda kasih sayang tetapi akal menolak mengatakan ia sesuatu yang normal apabila hati dirundung amarah, apa-apa sahaja boleh terbit.


Padang bola sepak yang lengang dipandang kosong. Beberapa orang rakannya mengajaknya untuk memanaskan badan dahulu, namun dia menolak. Alasannya, dia ingin menunggu rakan-rakan yang lain dahulu datang. Dia duduk di bangku yang disediakan di tepi padang.


Fathir meraup wajahnya dengan kedua belah tangannya. Apa yang telah dia buat? Dia sakitkan hati gadis itu lagi.. Entah, dia pun tidak faham dengan dirinya. Apabila berhadapan dengan gadis bermata bulat bundar itu, dia serta-merta berubah menjadi seorang yang lain. Berubah menjadi.. seseorang yang tidak berhati perut? Entahlah, yang pastinya ketika ini dia masih mempunyai perut dan hati.


Kenapa dengan aku ni?


Dia mengeluh perlahan. Dikalih matanya melihat waktu di jam tangan miliknya yang berwarna hitam. Lagi sembilan minit untuk sampai pukul 5 petang. Entah mengapa ringan sahaja kakinya datang tersangat awal daripada biasa. Janji pukul 5, dia terpacak di sini sedari pukul 4.15 petang tadi. Di kepalanya masih berputar ligat tentang peristiwa yang berlaku semalam. Kenapalah dia asyik terus-menerus menyakiti sekeping hati gadis itu?


"Kenapa? Dah buat salah, masih tak mahu minta maaf lagi?"


Fathir terkejut langsung berpaling ke belakang. Seorang jejaka yang ketinggian lebih kurang dengannya sedang tercegat berdiri selang dua langkah. Side-burn jejaka tersebut tampak comel yang memanjang paras cuping telinganya.


"Apa Abang Hilmi buat kat sini?" soal Fathir, kurang senang. Jejaka tersebut mengambil tempat di sebelahnya.


"Untuk menenteramkan hati sepupuku yang sedang walang." Ujarnya dengan nada pura-pura serius. Fathir mencebir sambil tersengih.


"Sejak bila dah pandai bermadah-madah ni semua? Ni mesti kes dah ramai Abang Hilmi pasang girlfriend kot? Tu yang mulut manis sangat.. haha." Fathir cubamengusik sepupu yang tua dua tahun darinya itu. Hilmi hanya tersenyum sinis.


"Fad buat apa kat sini? Main bola? Karang habis specs tu kena dek bola baru tahu.."


Fathir menjungkit alis kirinya. Amboi, sedap-sedap mulut bertanya, soalan aku tadi dibiarkan berlalu bagai angin sepi. Ada hati pula ingin menyoal aku, desis Fathir dalam hati.


"Apa main angkat-angkat kening? Ingat handsome sangat ke?" Hilmi memerlinya sambil turut mengangkat alis kirinya, mengajuk aksi Fathir.


Ada-ada sahaja Abang Hilmi sorang ni. Abang Hilmi ini merupakan sepupunya di sebelah ibu, anak sulung Mak Su Ja. Abang Hilmi bersekolah di SMKA Sheikh Abdul Malek, sekolah agama yang tersohor di Malaysia. Agaknyalah, dia pun main agak saja. Selain SMKA Sheikh Abdul Malek, SMKA Tok Jiring juga menempa nama diMalaysia. Alahai, Abang Hilmi-nya ini hampir lima tahun di sana sudah menjadi ustaz tidak rasmi untuk menasihatinya yang kadang-kadang tak makan saman. Dahulu umi pernah komplen, kata yang dia ni macam kera sumbang, tidak mudah bergaul dengan orang. Lalu dia dinasihatkan dengan cara umi yang menghantar Abang Hilmi untuk mendekati jiwanya,-kononlah!


Lalu dia pula mengikut saranan Abang Hilmi yang bijak bermain kata-kata seolah-olah dia dipukau pula olehnya. Dia sebenarnya bukanlah kera sumbang seperti yang dibilang oleh umi. Bukannya dia tidak mempunyai teman. Umi berprasangka begitu mungkin kerana di kampung ini dia jarang keluar rumah untuk saling kenal-kenal dengan jiran tetangga. Mungkin juga umi tidak ingin melihatnya yang asyik memerap di rumah dengan buku dan mp3 di telinga.


"Sesekali pergilah beriadah, bergaul dengan orang sikit!" tegur ibu ketika sedang bersarapan di meja makan tahun lalu. Terakam kemas di dalam kepalanya.


Fathir lekas membuang kenangan itu jauh-jauh apabila Abang Hilmi di sebelah memandangnya menanti butir bicara.


"Fad.. Macam mana dengan si gadis manis tu? Tak minta maaf lagi dengan dia?"


Fathir mencebir. Kemudian tersengih sambil mengangkat bahu. Realitinya, memang dia tidak tahu bagaimana caranya untuk bersemuka dengan si ustazah sorang tu. Aduhai, meminta maaf memang terlalu sukar untuk seorang manusia! Menyakitkan hati orang tidak perlu fikir dua kali, tetapi untuk meminta maaf perlu berfikir berkali-kali! Hati Fathir menyindir dirinya sendiri.


"Rendahkanlah sikit ego tu.. Untuk minta maaf bukannya merendahkan martabat lelaki, tapi meninggikan lagi. Sebab itu namanya budi bahasa… faham Fad?" nasihat 'si abang' sambil berdiri dan berlalu meninggalkannya sendiri termangu di situ.Mood untuk bermain bola melayang entah ke mana. Fathir berdiri, menyaingi langkah Hilmi.


"Kalau gitu, tolonglah ajar."


"Beres boss!!"



[bersambung..]

No comments:

Post a Comment