Pengumuman~!

Selamat datang ke Ceritera Minda Kayangan! Sebenarnya blog ini masih dalam pengubahsuaian.. Sebab blog yang asal sebenarnya di sini; Berikanku Cahaya. Jadi, 'perpindahan' ke sini memerlukan saya menyesuaikan diri di blog baharu.

Sunday, December 28, 2008

THE PAST [10]

DIA LAGI?


[Edisi Belum Edit]


Seminggu lagi mereka akan disogokkan peperiksaan pertengahan tahun, OTI. Masing-masing sibuk menghadap buku-buku rujukan dan ramai pula yang stay di sekolah untuk membuat study group. Hari ini hari Sabtu. Hari cuti yang sesuai untuk mengulangkaji pelajaran tetapi tidak bagi Ainil Yaqin dan Nadiah. Mereka terpaksa menolong jiran terdekat mereka yang mengadakan jamuan kesyukuran untuk anak mereka yang dua bulan lepas kembali dari Mesir.


Matahari tercegat memancar memanah di ubun kepala. Yaqin dan Nadiah berada di belakang rumah Pak Mir mencuci pinggan mangkuk bersama dengan Ishaq, adik Yaqin. Nadiah, memakai baju kurung kedah berwarna kuning air yang terdapat corak bunga-bunga orkid yang besar-besar disertakan dengan tudung bidang "60 yang berwarna putih susu. Yaqin pula memakai baju kurung biasa berwarna merah pudar yang kosong disertakan dengan tudung bidang "50 berwarna merah jambu.


"Ustaz Syawal, jiran kita! Saya betul-betul tak cam muka dia sebagai 'Abang Awal' sebab saya tak pernah tahu nama sebenar dia. Dan Qin pula tak pula beritahu saya ya?" ujar Nadiah membuka bicara setelah lama mereka berdiam diri mencuci pinggan mangkuk di dalam besen bulat besar. Yaqin menarik nafas panjang. Sesekali dia menjeling raut wajah Ishaq yang sedang membilas pinggan cucian mereka dan meletakkan pinggan tersebut di dalam besen yang lain. Tampang Ishaq bersahaja dengan walkman masih di telinga. Yaqin mengerling Nadiah di sisinya.


Nadiah dan Yaqin mencuci pinggan di dalam besen yang besar. Mereka duduk bersila di lantai beralaskan surat khabar. Ishaq pula selesa hanya bersila di atas rumput sahaja.


"Bukan tak mau bagitau.. Sebab kalau Qin tak bagitau pun lambat-laun Nadiah dapat tahu jugak, kan?" Yaqin masih ingin bermain tarik tali.


"Yalah tu." Balas Nadiah pendek. Nadiah memandang ke dalam rumah yang kini mulai sesak dengan saudara-mara dan kaum kerabat Pak Mir. Sedari tadi dia langsung tidak ternampak kelibat Ustaz Syawal.


"Apa-apa pun, memang di kepala saya langsung tak terfikir yang Ustaz Syawal tu Abang Awal! Maklumlah, dah empat tahun tak berjumpa. Lain betullah.. Perwatakan pun lain.. sampai tak kenal langsung!" sambungnya lagi. Yaqin menjungkit kedua belah bahunya.


"Memang lain.. hati pun dah lain."


"Hmm.. apa?"


Yaqin pantas tersedar yang dia telah mengatakan sesuatu yang terlintas di fikirannya tanpa berfikir. Nasib baik perlahan sahaja ayat tadi dituturkan.


"Tak ada apa-apa."


"Hmm.." Nadiah memandangnya curiga. Pinggan kaca di tangannya digosok keras dengan pemberus cuci pinggan yang kelihatannya seperti jala yang kecilnya seperti tapak tangan. Buih memenuhi kedua tapak tangannya.


"Seminggu lagi.. exam." Yaqin berkata lebih kepada memperingati dirinya sendiri.


"Ya, exam tak lama lagi.. Boleh lagi cik adik berdua ni tolong mencuci kat sini ya? Rajin benar anak ustaz dengan anak cikgu ni," suatu suara garau lantang bersuara di sebalik pintu yang membelakangkan, berhampiran mereka. Yaqin, Nadiah dan Ishaq serentak berpaling ke pintu. Seorang jejaka tinggi lampai, berkulit sawo matang dan berkaca mata berdiri di situ. Dengan rambut pendek yang di depannya dipacakkan, berbaju t-shirt kosong berwarna ungu pudar berkolar dan berseluar slackhitam arang.


"Fathir..?" mulut Nadiah terlebih dahulu tersasul menyebut nama empunya suara. Jejaka tinggi lampai itu mengukir senyum dan melirik kepada Yaqin. Serentak dengan itu Yaqin membuang pandang ke arah pinggan yang dicuci di tangannya sambil mengetap bibir.


"Ya, saya. Mengganggu ke?"


Memang, memang mengganggu! Kedatangan Fathir merenggut keselesaan Yaqin yang dalam tidak ingin menemuinya. Perang dingin? Mungkin.


"Awak buat apa kat sini?" soal Nadiah.


"Basuh baju." Selamba Fathir menjawab. Spontan tawa pecah di bibir Ishaq dan sekuntum senyuman di bibir Nadiah. Yaqin hanya diam melakukan kerjanya, tidak mempedulikan jejaka tersebut. Fathir beralih pandang kepada Ishaq, spontan mengangkat alis kirinya.


"Adik Ainil ke?" teka Fathir tanpa menjawab serius soalan Nadiah. Ishaq mengangguk.


"Muhammad Ishaq bin Yasir. Panggil Is aja. Adik kepada Ainil Yaqin dan Ainul Syifa'. Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 dalam darjah 6. Salam kenal." Panjang lebar jawapan yang keluar dari mulut budak lelaki berkulit sawo matang tersebut. Yaqin mulai tidak senang duduk. Terkedu dia seketika apabila Fathir membahasakannya 'Ainil', bukannya 'Yaqin' seperti kebanyakan kawannya yang lain. Terasa janggal pula.


"Erm.. abang kawan Kak Qin dan Kak Nadiah?" soal Ishaq sambil mencabut wayar walkman dari kedua cuping telinganya.


"Yup. Kalaulah mereka anggap saya ni kawan mereka.. Ahmad Fathir." Fathir memperkenalkan diri sambil tersenyum. Nadiah masih berkerut dahinya, berlapis-lapis. Masih tidak tahu tujuan kedatangan jejaka tersebut yang secara mendadak.


"Abang Ustaz Syawal tu, abang ipar saya. Jadi keluarga saya pun dijemput sama." Terangnya perlahan namun masih mengerling sejenak kepada Yaqin yang tidak memandang wajahnya.


"Ohh…" Panjang pula nadanya Nadiah bersuara.


"Okey, saya ke dalam dulu. Nampaknya ada orang yang tak sudi saya ada di sini. Assalamualaikum."


"Wa'alaikumussalam." Balas serentak, Nadiah dan Ishaq. Yaqin hanya menjawab dalam hati. Sempat lagi Fathir memerlinya dalam proses 'nak berbaik-baik'. Kalau dah nama lelaki, ego memanjang!


"Kecilnya dunia.. Siapa nama abang Ustaz Syawal tu?" soal Nadiah pula sambil membasuh tangannya dengan paip yang tersedia untuk mereka mencuci pinggan. Lantas dia mengambil air sirap di dalam gelas yang tersedia dari tadi.


"Syamir." Pendek Yaqin menjawab. Ustaz Syawal hanya mempunyai seorang abang, jadi mudahlah untuk meneka siapa abang ipar si psiko tadi. Nadiah mengangguk, lalu meneruskan kerjanya setelah puas menikmati air sirap merah cerah itu.


Pukul 4 petang barulah mereka dibenarkan pulang. Dari pukul 2 petang mereka menolong mencuci pinggan hinggalah pukul 4 petang. Jari ketiga-tiga mereka kecut-kecut semuanya. Yaqin dan Nadiah masuk ke dalam rumah untuk ke pintu hadapan. Sudah beransur sedikit tetamu yang datang. Sampai di luar, mereka terkial-kial pula mencari sandal masing-masing.


"Ainil.." suara garau lantang yang lembut itu menampar gegendang telinga Yaqin. Dia menoleh ke belakang. Fathir berada lebih kurang dua tapak dari tempatnya berdiri. Yaqin mengeluh. Pantas, matanya tertancap pada sandal berwarna maroonmiliknya. Dia menyarungkan ke kakinya, dengan niat tidak ingin mendengar sepatah haram pun perkataan yang akan terbit daripada Mr Psycho sorang ni!


"Awak masih marahkan saya?" sambung Fathir lagi, tidak mempedulikan orang di sekitar mereka. Yaqin menggigit bibir bawahnya, geram. Nadiah di sisinya hanya memerhati. Yaqin berjalan maju ke hadapan, meninggalkan Fathir terkial-kial di situ diiringi dengan Nadiah. Mereka meredah khemah yang dipasang untuk para tetamu bersantap dan pergi ke rumah sebelah; rumah Yaqin.


"Ainil!" panggil jejaka itu lagi, walaupun tidak cukup kuat tetapi jelas di pendengarannya. Yaqin membuka pintu rumahnya yang tidak berkunci, meloloskan diri di dalamnya dan menghempaskan diri di atas sofa. Kedengaran pintu ditutup oleh Nadiah.


"Qin.." panggil Nadiah lembut dengan wajah yang sayu. Mata Yaqin mulai memerah. Tolonglah, jangan buat drama air mata di sini! Pinta Yaqin dalam hatinya sendiri. Kali kedua, Fathir yang menyebabkan dia menumpahkan air mata. Bencinya!


"Saya tak suka dengan perangai dia tu! Menyakitkan hati!" bentak Yaqin tiba-tiba sambil menutup wajahnya dengan kedua tapak tangan. Nadiah menarik nafas panjang. Fathir ni pun satu, kalau nak cakap hal yang macam tadi tu cakaplah di tempat yang sesuai. Tempat ramai orang macam tadi boleh pula dia buat macam tu. Apa nanti kalau nampak dek orang tua-tua yang mulutnya 'gitu-gitu', mendatangkan prasangka dan fitnah saja! Bisik Nadiah dalam hati. Belum sempat Nadiah ingin menenangkan rakan baiknya itu, kedengaran ketukan di pintu rumah tersebut. Nadiah bangun, menuju ke pintu. Tombol pintu dipulas; Ishaq gerangannya. Mengapa pula diketuk pintu rumah sendiri? Soal Nadiah dalam hati.


"Ini surat daripada Abang Fathir.. untuk Kak Qin. Tolong beri pada dia." Ishaq menyerahkan surat bergaris yang berlipat dua tersebut. Nadiah mengangguk, sekilas mengerling ke rumah sebelah, Fathir sedang berborak dengan Ustaz Syawal yang memakai baju melayu berwarna putih pudar serta berkopiah biru gelap di sebalik pagar berjaring yang memisahkan kawasan luar rumah teres ini.


"Terima kasih." Nadiah mengambil surat tersebut dan Ishaq berlalu pergi. Nadiah masuk ke dalam rumah, memberinya kepada Yaqin.


"Surat untuk Qin."


"Buang dalam tong sampah di dapur sana."


"Qin! Bacalah dulu, lepas tu suka hatilah nak buang ke, nak koyak ke…" pujuk Nadiah sambil duduk bersebelahan dengan Yaqin. Gadis bertudung merah jambu itu menurut. Dia mengambil surat tersebut dibuka lipatannya. Mereka berdua sama-sama membaca setiap bait yang tertulis.


---------------------------------------------------------------------------------------------------------


Dengan menyebut nama Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum warahmatullah.

Untuk Ainil Yaqin binti Yasir, 3 Elektif SMK Taman Budiman.

Sekali lagi aku pohon maaf berbilion, untuk semua kesalahan yang telah aku lakukan pada kau selama ni. Entahlah, aku pun rasa pelik tiba-tiba boleh terfikir idea untuk hantar surat ini untuk minta maaf daripada kau. Yalah, dengan kau ni punyalah susah untuk aku berjumpa, apatah lagi untuk mengucapkan kata maaf.

Dan Nadiah, kalau kau ada sama membaca surat ni, aku pun nak minta maaf. Manalah tahu aku ada buat salah kat kau juga. Memandangkan ujian TOV tak lama lagi, jadi seolah-olah 'wajib' untuk aku minta maaf pada semua orang.

Ainil, tolong jangan menangis ya? Aku dah minta maaf ni.. =(

Nadiah, tolong jaga kawan aku sorang tu tau! Bagitau aku kalau sebab aku yang buat dia menangis lagi di lain hari.

Salam,

Your Mr Psycho. =)

---------------------------------------------------------------------------------------------------------



Yaqin baru sahaja ingin merenyukkan surat itu tetapi pantas dirampas oleh Nadiah yang kini sedang tersengih.


"Dia tahu kita gelar dia Mr Psycho?" soal Yaqin, kaget.


"Semua orang dah tahu yang geng kita ni panggil dia Mr Psycho.. Syitah tu, tahu-tahu ajalah." Terang Nadiah.


"Bencinya dengan dia tu!" marah Yaqin, lebih pada dirinya sendiri.


"Aik? Jangan macam tu, Qin! Bak kata orang bijak pandai; cintailah sesuatu itu sekadarnya saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika. Bencilah yang engkau benci itu sekadarnya saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu suatu ketika. Kan bahaya tu?" sempat lagi Nadiah mengusik.


"Apa-apa pun, saya tak suka dia yang bernama Fathir si psiko tu!"



[bersambung..]

No comments:

Post a Comment