Pengumuman~!

Selamat datang ke Ceritera Minda Kayangan! Sebenarnya blog ini masih dalam pengubahsuaian.. Sebab blog yang asal sebenarnya di sini; Berikanku Cahaya. Jadi, 'perpindahan' ke sini memerlukan saya menyesuaikan diri di blog baharu.

Wednesday, June 4, 2008

THE PAST [2]

TERKENA
[Edisi Belum Edit]




"Cantiknya tudung! Pandai budak cina tu pilih, tudung bidang 60. Bagusnya, dengki betul Kak Ifa" ngomelan kakaknya, Kak Ifa membuatkan dia tersenyum. Ainil Yaqin juga tidak menyangka Chiang Yen begitu menghormatinya sebagai seorang muslimah.

"Kenalkanlah Kak Ifa dengan dia, Qin. Mesti orangnya cantik kan?"

Dia hanya ketawa melihat Kak Ifa bersungguh-sungguh memuji perawan cina bermata sepet itu. Telefon rumah berdering. Belum sempat Ainil Yaqin bangun untuk pergi mengangkatnya di ruang tamu, adiknya, Ishaq telah mendahului. Suaranya kedengaran sayup-sayup dari kamar Ainil Yaqin.

"Assalamualaikum. Ingin bercakap dengan siapa?" Ishaq berbicara ramah. Kemudian dia berteriak lantang;

"Ainul Syifa', ada orang menelefon mencari kamu!"

Kak Ifa mendengus geram; mungkin tidak menggemari cara Ishaq memanggilnya dengan nama penuh. Itulah Ishaq, jejaka malaya tersohor katanya. Badannya berisi, tinggi lampai; matanya sedikit sepet berbeza denganku dan Kak Ifa, bermata besar dan bulat. Moyang di sebelah ibu orang cina, manakala datuk kami di sebelah ibu juga merupakan orang arab; atau lebih dikenali dengan panggilan Syeikh. Hidungnya tajam, salah satu sebab untuk dia sering bermegah diri. Kulitnya sawo matang, dia begitu aktif dengan aktiviti sukan di sekolahnya. Jika dia marah atau mahu menyindir; atau ingin berseloroh, dia akan memanggil seseorang itu dengan nama penuh atau nama gelaran yang diciptanya sendiri. Sering sahaja berlagak seperti orang dewasa, padahal umurnya hanya dua belas tahun. Tidak dapat dinafikan, ciri-ciri fizikalnya tidak seiring dengan umurnya. Tampak lebih matang daripada usia.

Kak Ifa bergegas ke ruang tamu, meninggalkan dia sendirian di kamar kecil di atas katil bujang ini. Bilik ini hanya mempunyai sebuah katil bujang, sebuah almari baju dan sebuah meja belajar yang sederhana besar, berpadanan denganku yang akan mengambil ujian penting tahun ini. Dinding bilik diwarnakan dengan warna putih kekuningan, warna yang mendamaikan. Kamar Kak Ifa hanya bersebelahan dengan kamarku manakala kamar ibu dan Ishaq berhadapan dengan kamar-kamar kami. Dia menghempaskan diri di atas katil. Mata menyoroti hadiah yang diberikan oleh Darunee sewaktu pulang dari sekolah tadi. Selendang berwarna putih yang dihiasi dengan sulaman bunga berwarna merah jambu dan dihiasi dengan manik-manik kecil di sekitar hujung selendang. Cantik sekali.

Suara Kak Ifa sedang ketawa kecil di ruang tamu kedengaran hingga ke sini. Ainil Yaqin menarik nafas perlahan. Kak Ifa, gadis tinggi lampai yang ramping. Wajahnya separuh bujur, dengan mata bulat dan besar dan hidung separa mancung. Kulitnya putih bersih. Tidak dapat dinafikan, Kak Ifa memang seorang gadis yang cantik. Sebagai anak yang pertama, Kak Ifa memang seorang yang rajin, tetapi kadang-kadang anginnya tidak tentu. Dia boleh menjadi seorang puteri yang lemah-lembut dan juga boleh menjadi seorang gadis panas baran yang gunung berapinya bisa meletup secara tiba-tiba.

Matanya memberat. Perlahan-lahan kelopak mata ingin menutup kornea mata yang letih. Imbasan demi imbasan yang berlaku di sekolah tadi kembali menerjah ke fikiran.


** ** **


Seorang guru lelaki separuh usia masuk ke dalam kelas kami. Dia yang sedang membaca zikrullah bersama dengan Nadiah terhenti sejenak. Kami semua bangun. Mungkin ini guru kelas mereka tahun ini. Guru lelaki itu rendah dan sedikit dempak. Berpakaian kemas dengan kemeja coklat cerah dan berseluar slack hitam. Tali leher disimpul kemas bercorak bulat-bulat kecil di tengahnya. Kepalanya separuh botak, separuh beruban. Wajahnya berkedut seribu. Kening tebal guru itu bagaikan hendak tercantum.

Usai menjawab salam dan membaca doa, mereka dibenarkan duduk. Guru lelaki tersebut duduk di atas kerusi guru yang tersedia di hujung pintu masuk di hadapan kelas. Beliau meletakkan beg sandang berwarna hitam yang dibawanya tadi di atas meja lalu bangun. Sepanjang dua tahun dia belajar di sekolah ini, tidak pernah dia melihat kelibat guru ini di sekolah. Guru barukah?

"Selamat pagi semua. Saya guru kelas anda. Nama saya Jusoh bin Abu Bakar," guru itu memperkenalkan dirinya.

Wajahnya menggerunkan bagiku kerana dari tadi beliau masuk ke kelas hinggalah sekarang, langsung tiada seulas senyuman di bibirnya. Dahinya asyik berkerut, seperti mereka di sini membuat kesalahan serius yang sedang menanti hukuman. Beliau kemudiannya membelakangi anak-anak muridnya langsung mencapai marker. Beliau menulis namanya di papan putih.

"Saya guru baru yang berpindah ke sini dari SMK Merantau," ujarnya tanpa dipinta.

"Baiklah, kita lakukan pelantikan ketua dan penolong tingkatan di kelas ini. Sesiapa ingin mencalonkan kawannya?" sambungnya sambil menyoal pantas.

Kami saling memandang di antara satu sama lain. Ainil Yaqin hanya bertongkatkan dagu, menantikan aksi yang akan berlaku sebentar nanti. Dalam hati terasa bungkam, siapakah yang layak memegang amanah itu? Dia memerhatikan seorang demi seorang di dalam kelas.

"Pertama sekali, ciri-ciri penting yang harus ada pada ketua dan penolong tingkatan ialah rajin, tegas dan bertanggungjawab. Saya tidak mahu anda melantik kawan anda yang sudah mempunyai jawatan," tegasnya dengan suara keras.

Selang beberapa saat, salah seorang pelajar lelaki mengangkat tangan. Cikgu Jusoh mengangguk, tanda membenarkan dia menyatakan apa yang ingin dia nyatakan. Pelajar lelaki beruniform biru itu diperhatikannya. Kiranya dia mengenalinya. Rambut tipis di atas kepalanya, dia ialah Muhaimin. Muhaimin, jejaka yang digilai pelajar perempuan di sekolah ini. Pengawas sekolah, ada rupa, kaya? Entah. Dia tidak pasti. Dia melarikan pandangan, hanya telinganya meneliti setiap perkataan yang bakal keluar daripada mulutnya setelah dia bangun.

"Saya mencalonkan Ahmad Faiz sebagai ketua kelas, cikgu," terang dan jelas.

Darunee di sebelah ketawa berdecit perlahan. Bibir Ainil Yaqin menguntum senyum, turut merasakan apa yang dirasakan olehnya. Sheng yang berada di hadapan seraya berpaling sambil tersengih ke arah Ainil Yaqin lalu memandang ke hadapan semula. Dia membisik perlahan kepada Cher Wei, cukup jelas sehingga kedengaran di tempatku dan Chiang Yen di belakang mereka.

"Let me choose Ainil Yaqin for the assistant monitor,"

Mata gadis itu membulat. Gila! Tawa Darunee semakin menjadi-jadi sehingga dia menutup mulut dengan kedua belah tapak tangannya. Ainil Yaqin menggigit bibir. Lantas dia terfikirkan idea nakal untuk menyakat Sheng. Ainil Yaqin mengangkat tangan.

"Ya, silakan" Cikgu Jusoh memberikan kebenaran.

"Saya mencalonkan nama Kim Boon Sheng, jejaka di hadapan saya sebagai ketua kelas,"

Dia dapat merasakan mata-mata yang tertumpu padanya. Ainil Yaqin mengerling sekilas kepada Sheng. Wajahnya kelihatan melopong. Dia tersenyum puas setelah Cikgu Jusoh menulis namanya di papan putih.

Setengah jam telah berlalu. Atas pakatan semua, Faiz dipilih sebagai ketua kelas manakala Afifah Insyirah menjadi penolong ketua kelas. Ainil Yaqin dapat melihat Sheng menarik nafas lega. Bibirnya mengulumkan senyum, akhirnya dapat juga mengenakan budak tu. .

Yang anehnya, dia langsung tidak mencalonkan nama Ainil Yaqin sebagai pembalasan. Cher Wei pula seolah-olah turut seiring dengannya mengenakan Sheng. Cher Wei mengerling sambil menggenggam buku limanya kecuali ibu jari yang sengaja dikeluarkan yang dimaknakan 'GOOD'. Dia cuma tesengih namun sedikit gugup. Gugup kerana dia seorang lelaki? Mungkin ya.

Cikgu Jusoh mengajar kami subjek Sejarah. Sejarah, salah satu subjek yang paling dia gemari. Baginya, sejarah itu amat menarik dari segi jalan cerita dan turu-temurun, juga kepercayaan mereka dan mitos yang melanda. Paling penting, ia 'sejarah', iaitu perkara yang benar-benar berlaku atau non-fiksyen.

"Pandainya awak, Qin! Kami di belakang ni pelik sebab ingin tahu kenapa awak calonkan nama Sheng. Bila Nini ceritakan kepada kami, terasa nak terburai segala isi dalam perut!" cerita Nasyitah bersungguh-sungguh. Ainil Yaqin hanya tersengih sumbing.

"Sejak bila Qin sudah pandai mengenakan orang? Ini kali pertama saya dengar. Terasa tak percaya apa yang Nini cerita tadi," Nadiah pula memberi komen. Dia hanya menjungkit bahu.

"Idea itu datang sendiri dalam fikiran. Saya cuma jadikannya realiti," jawabnya sambil tersenyum.

"Saya yakin, dia dah berjangkit dengan Syitah!" Yen mula membuat andaian sendiri. Nasyitah mencebik bibir. Para pelajar mulai penuh menghuni kelas ini. Sesi rehat kedua hampir tamat. Hati Ainil Yaqin terasa tenang setelah usai menunaikan solat zuhur berjemaah di musolla sekolah.

"Apa-apa pun, perkembangan yang bagus. Tidaklah macam sekolah rendah dulu, asyik kena buli saja. Asyik aku yang kena pertahankan diri dia," Nasyitah memuji. Dia tergelak kecil. Nadiah mula menunjukkan riak tidak puas hati.

"Kalau asyik kenakan orang, kelak kita sendiri yang terkena!"

"Nadiah, awak janganlah skema sangat. Kadang-kadang kita perlu jadi seorang yang tidak berhati perut untuk seketika," Nasyitah membidas.

Berderai ketawa dari meja kami. Nasib baik tiada pelajar lelaki di dalam kelas. Nadiah mendengus geram.

"Malas nak layan," rajuknya.

"Ini Syitah, jangan cuba nak berperang mulut dengan Nurnasyitah binti Rusli!"

Ainil Yaqin dan Darunee menyambung tawa.



[bersambung...]

No comments:

Post a Comment