Pengumuman~!

Selamat datang ke Ceritera Minda Kayangan! Sebenarnya blog ini masih dalam pengubahsuaian.. Sebab blog yang asal sebenarnya di sini; Berikanku Cahaya. Jadi, 'perpindahan' ke sini memerlukan saya menyesuaikan diri di blog baharu.

Saturday, December 5, 2009

Serpihan Kalbu [1]

SERPIHAN KALBU [1]


Sampai kapan

Aku harus begini?


[Edisi Belum Edit]

Kecantikan yang abadi ialah pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan pada wajah dan pakaiannya.

-HAMKA-


Kata-kata yang dihantar lewat emel gadis yang bernama Alyxia Lucida mengisi ruangan inbox emelnya. Seperti biasa, dia akan save di dalam Microsoft worddan apabila koleksi kata-kata itu memenuhi ruangan sehelai kertas A4, dia akan printdi kafe siber Uncle Chong dekat-dekat sini aja. Uncle Chong yang peramah itu, jarang berada di dalam kafe siber miliknya sekarang. Khabarnya, anak-anak lelakinya yang boleh diharap itu yang mengambil alih. Anak lelaki Uncle Chong yang dia kenal hanya si Chuan seorang itu sahaja, yang sebaya dengannya. Malahan mereka menuntut di sekolah yang sama. Chuan itu seperti bapanya juga; fasih berkomunikasi bahasa melayu.

"Ayong, cepat turun ke dapur. Sarapan dah siap." Ujar suatu suara halus seorang gadis di luar pintu biliknya lalu disertakan dengan ketukan kecil.

Bertuah punya budak. Bersuara dahulu kemudian baru ketuk pintu. Omelnya dalam hati.

"Ya, aku turunlah nanti." Jawab Rauf, tenang. Kenal sangat dia dengan suara halus tu. Anak cina celup tulah... Tidak sukanya dia apabila gadis itu menumpang rumah keluarganya. Amboi Rauf, dia itu juga sebahagian daripada keluarga kamu!Tapi aku dan adik-adikku tiada pertalian darah dengannya. Itu pasti. Kenapalah ibu begitu baik hati memberi gadis itu menumpang di sini.

Dia yang hanya berseluar track, menyarungkan t-shirt berwarna hijau pucuk pisang yang kosong sahaja tanpa corak dan berkolar. Tangannya pantas memulas tombol pintu biliknya dan keluar. Kakinya pantas menuruni tangga dan menuju ke dapur. Dalam perjalanan menuju ke dapur, dia terserempak dengan adiknya, Yaya.

"Selamat pagi semua.. Yaya tertidur kat atas tadi.. Nasib baik Wawa kejutkan. Terima kasih ya Wa." Ujar Yaya pantas apabila masuk ke dapur. Yaya mengambil tempat duduk di sebelah gadis anak cina celup itu yang kosong lalu mengukir senyum bagi gadis tersebut.

Sebuah meja makan segi empat yang diperbuat daripada gentian kaca berada memanjang di bahagian tempat makan, berdekatan dapur. Terdapat sepuluh buah kerusi kayu yang berwarna hitam di sekeliling meja makan. Ayah sebagai kepala keluarga tentunya duduk di bahagian kerusi perseorangan di bahagian hujung meja makan sambil membaca surat khabar. Ibu pula duduk sebaris dengan Yaya dan anak cina celup itu.. Rauf asyik menyebut gadis itu sebagai 'anak cina celup' sahaja.. Padahal gadis itu juga punya nama. Namanya apa ya? Yang dia tahu nama depannya Arwa. Nama belakangnya apa entah. Bukan hal dia yang perlu sibuk-sibuk tahu.

Rauf duduk berhadapan dengan ibunya. Kelibat dua orang adik lelaki kembarnya baru tampak kelihatan. Si Alang dan Achik. Nampak macam baru bangun tidur. Mesti tidur selepas solat Subuh berjemaah tadi. Sememangnya menjadi kebiasaan keluarga ini untuk solat Subuh dan solat Isyak berjemaah di rumah. Bagi waktu solat yang lain jarang berjemaah di rumah kerana ayah bekerja. Ibu pula ke sekolah, mengajar. Mereka biasanya pulang pada waktu petang. Dia pula sengaja pulang lewat ke rumah, menghabiskan waktunya di sekolah.

Namun pada waktu cuti sekolah begini, tentulah ibu tidak lagi ke sekolah. Begitu juga Rauf dan adik-adiknya. Namun ayahnya langsung tidak 'bercuti'. Maklumlah, arkitek katakan. Rauf menilik adiknya, Yaya.

"Yaya, ikat sikit rambut tu boleh tak? Serabai, buat orang tak selera makan ajalah." Komen Rauf sambil menunjukkan jari telunjuknya ke arah rambut Yaya yang keriting menggerbang paras bahu. Yaya mulai memasamkan mukanya.

"Ayong ni asyik-asyik dengki dengan rambut Yaya." Marahnya.

"Betul cakap abang kamu tu, Ya. Lain kali ikatlah rambut tu, dah tahu macam tu." Ayah menyampuk. Muka Yaya bertambah masam. Arwa di sebelah Yaya yang bertudung kemas berwarna kuning lembut kosong itu menyembunyikan senyum. Si kembar Alang dan Achik diam sahaja, tidak menyambung usikan Rauf seperti biasa.

"Semua dah ada kan? Ayong, baca doa makan." Arah ibu, cuba meredakan keadaan. Rauf hanya tersengih. Sedari tadi lagi kecur air liur melihat nasi goreng cina yang dihidangkan di atas meja makan ini berserta kopi pekat di dalam teko yang mengewap itu. Lalu Rauf menuruti arahan ibunya.

Sedang masing-masing enak menikmati air tangan ibu, ayah berdehem kecil sambil memandang kami semua.

"Wawa, tahun depan duduk sini terus aja ya. Boleh temankan Yaya studysama-sama. Ayong ni pun ada, boleh jadi tutor ajar Wawa dan Yaya." Ayah bersuara. Hampir tersedak Rauf dibuatnya. Arwa yang perasan akan hal itu menjelingnya sekilas.

Apa? Nak cari gaduh? Balas Rauf dalam hati apabila terlihat Arwa menjelingnya tadi.

"Nanti hujung minggu Wawa bolehlah balik rumah Mama." Sambung ibu pula. Aishh.. Nampaknya ayah sudah berpakat dengan ibu. Tahulah yang Yaya dan Arwa tu PMR tahun hadapan. Dia pun ada peperiksaan besar juga tahun depan. Lebih besar daripada mereka lagi; SPM!

Nak suruh dia jadi tutor Yaya dan anak cina celup tu? Huh, silibus menengah rendah sudah lama dia buang di luar kepala. Mungkin ada yang dia ingat sikit-sikit. Kalau disuruh mengajar Sains dan Matematik, bolehlah juga. Tapi kalau datang bab Geografi atau Sejarah, memang dia surrender awal-awal. Dua subjek inilah yang membuatkannya tidak mendapat penuh gred 'A' di atas slip keputusan peperiksaan PMR dahulu! Sedihnya. Hendak buat macam mana, dia memang tidak suka atau menaruh minat sekali pun kedua-dua subjek tersebut. Sekali pun jika dia bakar buku-buku teks kedua-dua subjek tersebut, kemudian diletakkan dalam air lalu diminum supaya mudah diingat, tentu akan termuntah balik; sejarah dan geografi sememangnya bukan 'jiwa'nya. Kononnyalah!

Gadis bertudung kuning lembut itu hanya diam. Sesuap nasi goreng disua ke mulutnya. Suasana bertukar sepi.

"Kalau mama izinkan, Wawa boleh aja." Akhirnya Arwa memberikan jawapan.

"Mama dah beri jawapan pun. Ayah sudah berbincang dengan mama."

"Tapi sekolah Yaya dan Arwa kan lain-lain, ayah?" Rauf menyampuk.

"Tak apa, ayah hantar dia orang dengan kereta."

Arwa angguk. Yaya di sebelahnya sudah hilang masamnya sedari tadi apabila khabar daripada mulut ayah bahawa dia mempunyai teman di rumah untuk belajar. Maklumlah, di rumah Yaya asyik dibuli oleh abang dan dua adik lelakinya. Hanya Yaya seorang sahaja perempuan dalam keluarga ini, selain ibu.

"Yeay! Yaya ada teman, bestnya."

** ** ** **

"Mudahnya Yaya terima orang lain dalam keluarga kita." Kata-kata Rauf menyebabkan Yaya berang.

"Ayong! Wawa tu bukannya sesiapa pun, saudara tiri kita jugak."

"Oh ya? Ayong tak fikir macam tu."

"Sudah lima tahun ayah kahwin satu lagi.. Takkan Ayong tak boleh terima lagi Makcik Natrah, Wawa dan adik-beradiknya yang lain?" Soal Yaya penuh emosi. Yaya hanya memakai baju t-shirt berlengan pendek yang longgar berwarna maroon.Terdapat gambar kucing hodoh di belakangnya. Seluar track hitam legam yang dipakai Yaya itu tampak lusuh amat. Kulit Yaya yang putih sangat kontras dengan kulit Rauf yang sawo matang. Rambut Yaya yang keriting disanggul kemas itu juga berbeza dengan rambutnya yang lurus.

"Siapa kata Ayong tak boleh terima kenyataan yang Ayong ada ibu tiri dan adik-beradik tiri?" Balas Rauf sambil mengalunkan muzik yang entah apa-apa daripada gitar buruknya itu. Mereka berdua sedang berbual di buaian besi yang terletak di bawah pohon yang rendang-rendang suku. Di hadapan mereka terdapat kolam kecil yang menempatkan ikan-ikan emas dan curahan air seakan-akan air terjun di sebalik cangkerang yang bertingkat-tingkat itu. Taman di luar rumah ini amat menyenangkan untuk menghabiskan waktu damai.

Hissh.. Berbelit-belit betul abangnya seorang ni. Tadi cakap lain, sekarang cakap lain. Wajah Yaya sudah kelat.

"Habis tu, yang Ayong cakap macam tu tadi kenapa? Ayong ni cakap belit-belit kalah orang tamil!"

Amboi, samakan dia dengan orang tamil? Yaya ni, memang nak kena betul. Harapkan dia ni adik kesayangannya sahaja.

"Sudahlah, Yaya tak perlu fikir pasal tu lagi. Anggap je Abang Yong tak pernah cakap apa-apa." Rauf mematikan perbicaraan mereka.

"Abang Yong ni kan.. Wawa tu comel tau. Kacukan cina. Mata dia nak kata sepet taklah sepet sangat. Tapi mata hitamnya besar tau.. Matanya hitam pekat sangat. Yaya suka tengok mata Wawa. Kulit dia pun cantik.. Kuning langsat! Tak fahamlah kenapa kalau Ayong tak suka dengan Wawa". Bebel Yaya lagi.

"Orang nak nyanyi satu lagu ni.. Yaya nak Ayong nyanyi lagu apa?" Rauf cuba lari daripada bercakap tentang Arwa. Yaya ni memang tak faham-faham betul.. Kalau orang tak nak cakap pasal benda ni, memang tak naklah.

"Suara Ayong tak sedap.. Tapi Yaya bosanlah.. Nyanyi ajalah lagu apa-apa pun.."

Serentak dengan itu Rauf menyepak kaki adiknya yang kuat menyakat tu.

"Ayong!"

Rauf menjelirkan lidah. Tangannya mulai memainkan nada pada gitarnya. Tidak mempedulikan Yaya yang memukul bahunya sekilas. Dia menyanyikan lagu dengan suara lantangnya.

Kalau sampai waktuku
Ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi

"Eii.. Ayong.. Lagu apa ni? Naik bulu roma Yaya tau?!" Marah Yaya serta-merta sebelum sempat Rauf menghabiskan senandungnya itu. Rauf hanya ketawa.

"Malaslah nak layan Ayong ni. Mulalah tu datang penyakit pelik dia tu." Yaya pantas meninggalkan Rauf di buaian. Tenggelam dalam lagunya.

Rauf ketawa dalam hati. Yaya tidak tahu menahu bahawa yang didendangkannya sebentar tadi bukannya lagu sebaliknya puisi yang bertajuk 'Aku' oleh Chairil Anwar. Dia hanya mereka-reka nada untuk puisi tersebut. Sahaja ingin menakut-nakutkan si Yaya yang tidak tahu menahu tentang puisi.

[bersambung..]

Thursday, November 19, 2009

THE PAST [12-END]

BERAKHIRNYA..


[Edisi Belum Edit]


"MERDEKA!!"


Riuh sedewan apabila kertas peperiksaan terakhir telah dikutip. Guru pengawas yang mengawasi mereka sewaktu peperiksaan tadi hanya tersenyum simpul. Fathir mengepal buku lima di tangan kananya lalu menumbuk angin berkali-kali. Hatinya melafazkan tahmid.. Akhirnya berakhirlah sudah peperiksaan besar tersebut!


Tanpa menunggu rakan-rakannya yang lain, Fathir terus keluar daripada dewan peperiksaan. Ada seseorang yang harus ditemuinya. Dia terus melangkah ke pintu pagar besar. Terlalu banyak kereta di luar pintu pagar sekolah, tentunya ibu bapa para pelajar yang mengambil ujian sepertinya sedang menunggu anak mereka. Dari jauh dia sudah mengecam susuk tubuh seseorang yang dicarinya.


"Abang Awal!" jeritnya. Jejaka berkemeja biru langit dan berseluar slack hitam itu hanya tersenyum. Fathir berjalan pantas dan berjabat tangan dengan Ustaz Syawal. Ustaz Syawal malah mengusap kepalanya seperti anak kecil.


"Macam mana kertas terakhir tadi? Boleh jawab?"


"Alhamdulillah..." jawab Fathir tenang.


"Mana pula si durar ni? Perempuan, selalu lambat!" rungut Fathir sambil matanya mencari kelibat gadis tersebut di sebalik lautan manusia yang ramai.


"Sana tu, dah sampai. Anissa, Yaqin dan Nadiah." tunjuk Ustaz Syawal kepada tiga gadis pingitan yang menuju ke arah mereka. Fathir menguntum senyum sinis lalu memandang tepat kepada Yaqin yang secara tak sengaja juga memandangnya. Fathir menurunkan ibu jarinya ke bawah tanda looser. Sengaja dia mengusik Yaqin. Gadis itu menjelingnya menyampah. Fathir ketawa dalam hati.

"Okey semua, sila naik kereta.. Kita pergi cari barang.." Kelima-limanya lolos di dalam kereta Proton Wira milik Ustaz Syawal. Destinasi.... ke bandar!


Di dalam kereta, Yaqin memilih tempat duduk di tepi tingkap. Nadiah berada di antara dirinya dan Kak Nissa. Manakala Fathir duduk di tempat duduk tepi pemandu. Yaqin membuang pandang ke luar tingkap. Peristiwa pada minggu lepas mengimbau kembali ke kotak ingatannya.



"Kenapa?"

"Banyak tanya pula.. Kalau tak puas hati pergilah tanya Ustaz Syawal atau Abang Amin. Kan ni tugas kau.. Nama pun AJK Keceriaan untuk jamuan KKI. Nak berlenggang kangkung cari tempat lainlah ya, Ainil!" sindir Fathir lalu berjalan terus ke hadapan.

Iya, memanglah dia AJK Keceriaan! Dia tahu itu. Soalan 'kenapa' bukannya dia mempertikaikan dia harus membeli barangan itu semua tetapi soalan 'kenapa' itu ditanya mengapa si psiko itu harus ikut sama membeli barang-barang untuk menghias tempat jamuan Kelab Khairul Insan tersebut!

"Jumpa hari Sabtu nanti ya, Cik Ainil Durar!" teriak Fathir dari jauh sambil mengangkat tabik hormat padanya. Wajah Yaqin sudah tersimbah darah merah. Nadiah di sisinya tertawa kecil.

"Nadiah kena teman Qin hari Selasa ni ya! Tak kuasa betul... Apalah nasib.."

"Laa... Kak Nissa kan yang temankan Qin?"

"Tak... Nadiah kena ikut juga!" Tegas Yaqin lagi. Si Fathir ni mesti dah berpakat dengan Ustaz Syawal hendak kenakan dia! Padahal Ustaz Syawal sudah tahu 'kerenggangan' dan 'kepanasan' hubungan mereka. Dia bencikan Fathir? Oh, tidak! Sebenarnya dia meluat dengan jejaka tersebut! Bukannya sekali Fathir menyakitkan hatinya. Mengenakannya dengan si Wahid tak makan saman tu! Hisshh... Pokoknya dia tidak sukakan Fathir! Psiko!

Terbit juga rasa bersalah kerana melibatkan Nadiah dalam hal ini. Sebab Nadiah sebenarnya bahagian menyusun makanan. Bukannya bahagian keceriaan. Nak buat macam mana, Fifah-N tidak dapat pergi sama sebab hari ini keluarganya balik kampung. Tak sempat nak tunggu esok nak raikan berakhirnya PMR.


Fathir pula tidak habis-habis mencari pasal dengannya. Kononnya baru-baru ini minta maaf kepada semua orang kalau dia ada buat salah silap.. Memang banyak silapnya pun! Baru sahaja PMR berlalu, tadi dia ingin cari pasal pula dengannya. Tunjuk thumbs down konon. Huh.

Apa khabar Kak Ifa agaknya? Kak Ifa, Qin rindu!




[setakat ini sahaja..]



Sunday, March 29, 2009

THE PAST [11]

KEPUTUSAN DAN PERTEMUAN TIDAK TERDUGA


[Edisi Belum Edit]


"Cuma lima A. English, Sains, math, Sejarah dan Geografi.. Yang lain semua B.." ayat terakhirnya terdengar keluhan.


"Lima A? Yen, kalau OTI dah dapat lima, sah-sah la PMR nanti dapat lapan! OTI punyalah kepala nak pecah punya soalan. Syitah cuma dapat dua.. Sejarah dan Pendidikan Islam." Balas Nasyitah sambil membelek-belek kertas ujiannya.


''Nadiah dapat empat.. Qin dapat tiga..'' Nadiah turut menyampuk.


''Dan cuba teka siapa yang top 1 ranking OTI form 3 ?'' Yaqin menyoal sambil membuat ekspresi wajah yang aneh.


''Tentulah si Fathir tu kan? Budak terlebih genius.. Biasanya dialah yangnumber one !'' Nasyitah terlebih dahulu menjawab sambil mengerling ke meja paling hadapan di barisan mereka dalam kelas. Fathir sedang melakukan latihan extranampaknya, seperti biasa.


''Salah. Exam OTI ni nampaknya bukan rezeki dia.. Dia dapat nombor dua.. Nak tahu siapa nombor satu? Kawan dialah, Abqary!''


''Ohh…'' Empat suara kedengaran teruja.


''Abqary? Wah, nampaknya dia dah pecahkan rekod si psiko tu. Tapi diorangstill nampak okey..'' komen Nasyitah sambil mengerling kepada Abqary yang duduk di sebelah Fathir.


''Itu namanya persaingan yang sihat! Bukannya persaingan yang nak tunjuk siapa lebih hebat. Qin tahu dari mana ni? Rasanya kertas ranking belum sampai di kelas kita.'' Soal Nadiah pula, sambil tersenyum.


''Daripada Laila. Kelas Efektif dah dapat pun. Cikgu Jusoh belum beri lagi pada kita.'' Jawab Yaqin tenang. Cikgu Jusoh merupakan guru kelas mereka yang serius.


''Laila? Patutlah.. Tak dengar cerita ke yang Laila minat kat Fathir?''


''WHAT ? Awak dengar dari mana pulak Syitah?'' Tanya Yen, terkejut.


''Well, you know me..''


Nadiah mengerling wajah Yaqin di hadapannya yang tidak beriak. Biasa sahaja, tiada berkocak sedari tadi.


''Assalamualaikum..'' suara Cikgu Anisah kedengaran memberi salam lalu masuk ke dalam kelas mereka. Cikgu Anisah, guru matematik mereka. Semua warga 3 Elektif berdiri. Nadiah masih memicingkan matanya pada Yaqin yang telah membelakanginya, menjawab salam Cikgu Anisah.



** ** **



''Ifa?''


Ainul Syifa' berpaling, melihat siapa yang menegurnya. Seraut wajah yang tenang, sedang tersenyum padanya, yang dia tidak ingin temui saat ini, berada di hadapannya. Ainul Syifa' membalas senyumannya.


''Ya, saya. Lama tak jumpa. Awak dah banyak berubah.''


''Ifa pun apa kurangnya.'' Kata jejaka tersebut sambil tersenyum lagi.


''Kejap... Ifa dah balik rumah ke? Universiti dah cuti?'' soalnya.


''Ya, baru sampai pagi tadi.''


''Datang sini nak beli buku apa?'' soal jejaka itu lagi.


''Nak beli buku latihan untuk Yaqin.. Dia kan nak periksa besar tahun ni. Sesuai betullah hari ini ada pesta buku di sini.'' Jawabnya sambil membelek-belek buku di rak. Hari ini merupakan hari terakhir pesta buku ini berlangsung, jadi pengunjung tidaklah seramai seperti hari-hari sebelumnya.


''Cikgu pula buat apa kat sini?'' usiknya, dengan menggunakan panggilan 'cikgu'. Syawal hanya tersengih, menatap wajah gadis yang sudah lama tidak ditemuinya. Dia tidak menjawab.


''Yaqin cerita yang cikgu mengajar dia subjek Bahasa Arab di sekolah. Jadi, tak apa kan kalau saya panggil awak 'cikgu' ?'' soal Ainul Syifa', meminta izin tanpa memandang wajah Syawal.


''Ya, tak apa-apa..'' katanya sedikit kesal. Ikut hati kecilnya, panggilan itu seolah-olah menjarakkan mereka.


''Saya datang sini nak cari bahan mengajar.. Tak sangka terjumpa Ifa kat sini..'' sambung Syawal lagi, matanya mengerling wajah Ainul Syifa' yang mengelak memandangnya.


Ifa.. Dah banyak berubah.. Seandainya dia tahu apa yang bergelodak di dalam hati ini…


''Ya?'' bagaikan mendengar isi hati Syawal, Ainul Syifa' bertanya sambil memandangnya aneh. Dia tidak begitu gemar dengan Syawal yang sering memandangnya. Syawal hanya tersenyum, menyedari kesalahannya, dia ingin mengundur diri. Tidak betah berlama dengan gadis ini yang seolah punya kuasa sihir untuk melemaskannya.


''Saya pergi dulu ya. Maaf ganggu..'' kata Syawal sambil berlalu pergi begitu sahaja, tanpa mendengar kata lanjut daripadanya. Ainul Syifa' menarik nafas lega. Namun di sudut hati kecilnya terasa kehilangan yang amat sangat.



[bersambung...]


Thursday, March 19, 2009

Alamanda Untukmu [5]

ALAMANDA UNTUKMU [5]


[Episod Terakhir oleh Anaqi]


''Dia pindah ke Selangor ikut keluarganya minggu lepas.'' Cerita Amirah padanya pada waktu petang yang membingitkan di taman mini kawasan perumahan mereka. Di bawah pohon rendang yang dahulunya sebahagian merakam cerita mereka di taman tersebut.


''Emm..''


''Terkejut? Aku lagi terkejut, tahu last minute bila dia telefon kasi tahu yang dia sudah pindah sana. Bukannya nak kasi tahu awal-awal pada kita.'' Bebel Amirah lagi. Mariah hanya diam walhal pada awalnya dia juga terkejut dengan berita tersebut. Hatinya terasa terkilan. Potret lukisan yang dipinta oleh Yusuf baru sahaja dia siapkan semalam, setelah seminggu bertungkus-lumus melukisnya. Tup tup, Yusuf pindah ke Selangor tanpa pemberitahuan mereka. Dan mungkin juga dia terkilan kerana.. Yusuf hanya memberitahu Amirah yang dia telah pindah ke Selangor? Soal hatinya sendiri. Tanpa sedar, dia telah meramas pasir dengan tangan kirinya. Menggigil tangannya.


"Lukisan tu dia belum ambil lagi.." Mariah mengeluarkan suaranya tika ini seolah-olah suaranya tadi tersekat di kerongkong.


''Oh, pasal lukisan tu dia suruh kau simpan dulu. Maklumlah, dia kan pindah tergesa-gesa. Belum sempat aku tanya lebih lanjut, dia sudah letak telefon. Dia tak nak kita contact dia kut, tu pasal dia call aku guna public phone.''


Tangan Mariah makin kuat mencengkam pasir di atas tanah bawah pohon tersebut. Dia masih ingat lagi sebulan yang lepas, Yusuf memberinya sepucuk gambar ketika dia berjalan pulang dari sekolah. Katanya, tolong lukiskan gambar orang di dalam gambar tersebut. Kemudian, dia hanya beredar meninggalkan mereka berdua begitu sahaja. Agaknya dia tahu bahawa Abang Mus tidak suka dia mendekati mereka. Ataupun Abang Mus telah berjumpa dengan dia memberi amaran? Entahlah, dia tidak berani meneka, apatah lagi bersangka buruk pada abangnya sendiri.


Dia dan Amirah meneliti gambar tersebut. Seorang gadis manis sedang bersimpuh sopan di atas bangku. Latar belakang tempat dia berada itu seperti di sebuah taman rekreasi. Gadis tersebut memakai sepasang baju kurung berona merah jambu lembut dengan corak bunga-bunga kecil berwarna merah terang, dipadankan dengan tudung hitam. Bibir gadis itu mengukir senyum. Kulitnya putih bersih, wajahnya bujur dan bermata bulat tajam. Amirah membuat andaian yang gadis itu mungkin adik Yusuf, bukannya 'makwe' seperti yang Mariah andaikan. Sampai di rumah, dia hanya membiarkan gambar tersebut di dalam buku lukisan Alamanda.


Esokan harinya dia dan Amirah terserempak lagi dengan Yusuf seperti hari-hari kebiasaannya. Dia mengambil peluang tersebut untuk bertanya pada jejaka itu.


"Dia adik saya, Shahida." Jawapan yang ringkas, tetapi cukup untuk membuatkannya puas hati. Amirah pula asyik mengacahkannya sepanjang pulang ke rumah pada hari tersebut.


"Macam mana dia tahu nombor handset kau?" Soalnya tanpa ditahan-tahan pada saat ini, kepada Amirah.


"Seminggu sebelum dia pindah, dia ada minta. Katanya penting untuk berhubung suatu hari nanti. AKu ingatkan dia buat lawak ke apa." Amirah mengeluh. Jadi, di sinikah semuanya berakhir? Beginikah? Mariah menarik nafas panjang. Yusuf, siapa kau sebenarnya? Sepanjang perkenalan mereka hampir tujuh bulan, tiada apa pun perkara tentang Yusuf diketahui oleh mereka. Dia peramah, tetapi langsung tidak pernah menyentuh hal peribadinya. Mereka juga tidak menyangka dia mempunyai seorang adik. Patutlah mata gadis itu mirip sahaja dengan mata Yusuf. Sesenang Yusuf berkawan dengan mereka, sesenang itu jugalah dia meninggalkan mereka.



* * *



Yes! Paper akhir!! Mariah menarik nafas lega. Satu lagi kertas; add math.Kertas fizik tadi pun alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat jugalah dia jawab. Jawab kertas peperiksaan akhir tahun bagaikan kalah menjawab kertas peperiksaan SPM pula rasanya. Padahal lagi tahun hadapan dia akan mengadap ujian besar tersebut! Bahangnya seakan terasa pula.


"Mar, dapat jawab last paper tadi?" soal Amirah ketika mereka sama-sama dalam perjalanan ke kantin sekolah.


"Alhamdulillah, boleh la. Cuma takut terkejut sakit jantung aja bila resultsampai kat rumah cuti nanti." Jawabnya sambil tergelak kecil. Yalah, dia bukannya sepintar gadis kecil molek berkaca mata di sebelahnya ini yang berada dalam top 10 ranking sekolah!


''Terkejut konon. Manalah tahu result kau nanti kasi gegar satu sekolah. Nama aku pun boleh tumpang naik sekali.'' Amirah berkata sambil tergelak kecil. Mariah menjungkit bahu sambil mengeleng kepala. Apa yang dia sedar sekarang, dialah sebenarnya yang tumpang sekaki dengan nama baik Amirah yang pintar itu.


''Mar, aku ada benda nak bagi pada kau balik sekolah nanti. Kita duduk-duduk dekat taman dulu ya.''

''Okey.'' Mariah bersetuju tanpa banyak soal. Lantai kantin dihentam dengan kaki-kaki mereka dan beberapa pelajar yang lain. Kantin lengang sahaja. Maklumlah, hari-hari akhir persekolahan tahun biasanya pelajar dibenarkan pulang awal dari sekolah.


Dalam perjalanan pulang dari sekolah, mereka melalui kawasan perumahan mereka menuju ke taman mini. Cuaca agak panas sedang matahari memacak di atas, meresap ke ubun-ubun kepala. Jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 1.12 petang. Wajah Mariah yang kulitnya putih pucat itu sudah mulai memerah. Matanya yang sedikit sepet itu mulai mengecil.


''Kau nak bagi aku big hug ke dekat aku ni? Pelik benar aku rasa.. sampai kena ajak pergi ke taman?''

''Tak kuasa aku nak peluk kau yang baru balik sekolah. Nanti habis bau badan kau melekat kat tubuh aku! Huh!'' Amirah menyambut gurauan Mariah sambil tersengih-sengih.

''Tak boleh ke beri benda tu dekat rumah aku je?''


''Tak hendak aku tengok muka abang kau yang tersayang tu!'' suara Amirah sudah meninggi sedikit nadanya. Mariah pantas menampar dahinya, terlupa yang Amirah jarang ke rumahnya sejak peristiwa Abang Mus memarahi mereka berkawan dengan Yusuf. Dia tidak menyangka yang Amirah masih belum dapat melupakan peristiwa hari tersebut. Atau Amirah ada menyimpan perasaan pada Yusuf? Sebab itulah dia terlalu marah dan tidak dapat menerima Abang Mus mencela Yusuf?


Hati Mariah berdegup dengan lebih kencang. Barulah dia terfikir, apakah 'benda' yang ingin diberi oleh Amirah padanya? Mungkinkah sebenarnya Amirah sebenarnya ingin memberitahunya tentang isi hatinya tentang Yusuf? Mengarut! Mariah menggeleng kepalanya sendiri separa sedar.


''Geleng-geleng kenapanya? Memang betul pun, Abang Mus tu dah melampau sangat-sangat.'' Kata Amirah pantas apabila melihat Mariah menggeleng kepalanya sebentar tadi. Padahal sebenarnya Mariah memikirkan hal yang lain.


''Huh?''


''Okey.. Destinasi kita dah sampai!'' ujar Amirah sambil menunjukkan telunjuk kanannya tepat pada pokok yang rendang di taman tersebut. Pokok yang membawa nostalgia pada mereka. Kakinya pantas melangkah menuju ke pohon tersebut meninggalkan Mariah yang jauh ke belakang yang masih terpinga-pinga. Mariah berlari-lari anak mengekori rakannya itu. Di bawah pohon tersebut, Amirah melepaskan beg sekolah berwarna kuning cairnya lalu dibuka zip. Mariah hanya memerhati. Sebuah kotak hadiah yang berwarna merah jambu pudar dikeluarkan.


''Untuk kau.'' Amirah menghulurkan kotak hadiah itu kepadanya. Mariah mempamerkan raut wajah yang kehairanan. Tanpa diduga, Mariah ketawa galak. Sah la Ami ni kena virus demam pelik, apahalnya bagi aku hadiah ni?


''Gelak nak mati ni kenapa? Mana ada aku buat lawak?'' marah Amirah sambil menepuk bahu Mariah yang masih ketawa. Wajah Mariah yang merah dek terkena panasnya pancaran matahari semakin memerah.


''Okey.. okey.. Maaf la.. Kau buat lawak tak dirancang la, Ami. Birthday aku dah lepas berkurun lamanya. Kau kan dah bagi hadiah buku 'Jangan Bersedih' oleh Dr. Aidh Al-Qarni tu.. Aku dah sempat khatam lima kali dah..'' Tawa Mariah masih bersisa. Pada ulangtahun hari jadi Amirah yang keenam belas, Mariah telah menghadiahkannya novel 'Tautan Hati' oleh Fatimah Syarha. Kemudian pada hari ulangtahun keenam belas Mariah, Amirah menghadiahkannya buku terjemahan 'La Tahzan' itu. Ustazah mereka pernah menasihati, jika ingin menghadiahkan sesuatu buat orang lain, hadiahkanlah sesuatu yang boleh dimanfaatkan oleh penerima tersebut. Kelak, mungkin kita juga akan mendapat pahala yang berterusan jika menghadiahkan sesuatu yang bermanfaat.


''Tulah, aku belum habis cakap lagi kau dah gelak. Cubalah teka hadiah kali ini untuk apa?'' wajah Amirah yang kelat sebentar tadi berubah manis semula. Mariah menjungkit alis kanannya.


''Hadiah sempena tamatnya alam persekolahan tingkatan empat?''


''Salah.''


''Hadiah sebab kau nak bodek aku untuk dapatkan sesuatu..?''


''Kepala hotak kau. SALAH.''


''Kau nak suruh aku bagi kotak tu untuk Abang Mus?''


''Sah la kau nak kena hempuk dengan beg aku ni, Mar!'' suara Amirah sudah mulai meninggi. Mariah tertawa kecil sambil mengundur tiga langkah. Kononnya takut dengan ugutan Amirah.


''Kau dah pandai loyar buruk sekarang ni ya? Belajar daripada siapa ni? Besi buruk?''


''Aku belajar dengan kaulah, Amirah binti Osman!''


''Mariah budak bertuah!! Tak naklah aku kasi gift box ni kat kau.'' Amirah sudah naik berang dengan sikap Mariah yang selayaknya seperti anak kecil. Serta-merta Mariah berhenti ketawa.


''Yalah.. Aku seriuslah ni. Aku tak tahu inferens apa kau nak beri hadiah tu. Sungguh.'' Mariah memberikan ekspresi wajah yang meminta simpati. Amirah mencebir.


''Lagi lima minit nanti kau akan tahu sendiri.'' Katanya pabila mengerling jam tangan Quartz berwarna biru lembut yang dipakai kemas di pergelangan tangan kirinya. Mariah menghembus nafas panjang. Menjeling Amirah seketika. Dia melepaskan beg daripada bahunya, lalu duduk di atas salah satu akar besar yang timbul di tanah pada pohon tersebut.


''Kalau nak kenakan aku lain harilah, Ami. Aku nak balik rumah, solat zuhur dulu. Sudah hendak pukul 1.30 dah ni..'' rayu Mariah, tidak sedap hati melihat raut wajah pelik Amirah pada awal petang itu. Tetapi tidak pula dia berasa ada sifat ingin tahu atau curious dengan apa yang bakal berlaku nanti, yang dirancang oleh Amirah. Entahlah, mungkin disebabkan Amirah itu rakan karibnya menyebabkannya tidak perlu berprasangka yang tidak baik.


''Alah, sekejap la..'' Amirah masih lagi berdiri sambil matanya melilau ke sanake mari. Sesekali dia mengerling jam tangannya. Irama lagu 'Hasbi Rabbi' oleh Sami Yusuf berkumandang perlahan daripada beg kuning cair miliknya. Pantas Amirah meraba di dalam poket kecil di hadapan beg sekolahnya itu. Punat ditekan.


''Assalamualaikum..''


Mariah yang sedang duduk meluruskan kakinya di bawah pohon itu hanya memerhati gelagat Amirah yang sedang berdiri. Wajah Amirah berkerut.


"Kenapa?" Amirah menyoal pada empunya di talian. Mariah mengambil daun gugur yang berhampiran lalu menguis tanah untuk menghilangkan rasa bosan. Wajah Amirah yang kelihatan hampa itu disertai dengan keluhan di bibirnya.


"Okey..okey.. Aku sedang beritahu dia ni. Bye. Wa'alaikumussalam." Amirah mematikan perbualannya lalu memandang Mariah dengan wajah kelat.


"Yusuf kirim salam. Dia kasi gift box ni dekat kau."


Mariah hanya memandangnya dengan wajah yang kosong..



* * *





Assalamualaikum…


Mar tahu kan, yang saya ada seorang adik perempuan. Namanya Shahida, atau kami biasanya panggil dia Ida. Kami dua beradik saja, sebab itulah yang membuatkan kami ini rapat. Dia lebih kurang baya Mar dan Ami. Dia sangat pandai melukis, selalunya saya yang akan jadi 'model' untuk lakarannya. Dia juga sangat suka berceloteh dan ceria macam Ami. Satu lagi, dia sangat sukakan bunga Alamanda kuning, seperti Mar. Entah kenapa. Dia suka sangat melukis berpuluh-puluh lukisan bunga itu.


Apabila saya bertemu dengan Mar dan Ami, saya ternampak bayangan Shahida di dalam diri kamu berdua. Ami seorang yang sentiasa ceria dan suka buat lawak. Mar pula pandai melukis dan sukakan bunga Alamanda. Semuanya mengingatkan saya kembali pada dia.


Sebenarnya, Shahida sudah tiada lagi di sini. Dia sudah sampai ke 'alamsana' bersama dengan ibu saya.. Saya sangat rindukan mereka.. Mereka meninggal apabila kami menghadapi satu kemalangan jalan raya. Saya dan ayah saya selamat, tetapi mereka berdua yang pergi meninggalkan kami. Saya masih lagi trauma dengan kejadian tersebut. Ketika itu saya berada dalam tingkatan 3, percutian akhir tahun. Kalaulah saya yang boleh ganti kematian mereka.. Astaghfirullah.. Memang saya rasa hidup saya kosong sangat tanpa mereka.


Hubungan saya dan ayah tidak begitu baik. Masuk tingkatan empat, jiwa saya memberontak. Saya masih tidak dapat terima apa yang berlaku. Pelbagai kesalahan disiplin yang saya lakukan, semata-mata kerana saya benci dengan diri saya sendiri. Saya rasa saya memang dilahirkan sebagai insan yang tidak berguna. Itulah pemikiran saya pada waktu itu.


Apabila saya berkawan dengan kalian, persepsi saya sedikit berubah terhadap diri sendiri. Saya masih ingat lagi apabila kita berdebat tentang ucapan awak secara spontan ketika itu, "Kita hidup untuk mati dan kita mati untuk hidup". Secara tak langsung sebenarnya perdebatan kita pada hari tersebut amat berbekas dalam jiwa saya.


Perpindahan saya sebenarnya bukan atas kehendak saya. Ayah saya ingin kami memulakan hidup yang baru kerana kami mempunyai ramai saudara-mara di sini. Hubungan saya dan ayah sedikit pulih.


Oh ya, semoga mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan! Doakan saya untuk menghadapi ujian SPM beberapa hari lagi.


p/s; Maaf, tulisan saya tak cantik!


Salam,

Ahmad Yusuf bin Farid


Mariah melipat semula surat tersebut. Dia membetulkan duduknya di atas katil. Dikerlingnya keychain di dalam gift box tersebut. Keychain kartun Simpson. Tadi dia hanya diam kaku, tanpa menyoal Amirah dengan soalan bertubi-tubi, dia mengambilgift box di tangan Amirah dan terus berlalu tanpa mendengar apa-apa yang keluar daripada mulut temannya. Sebenarnya hati kecilnya dapat mengagak siapa yang memberinya hadiah ini dan siapa yang sebenarnya ditunggu oleh Amirah. Mungkin dia kecewa kerana orang tersebut tidak dapat datang?


Sebenarnya surat Yusuf tidak begitu banyak merungkaikan kekususutan yang melanda di dalam dirinya disebabkan jejaka itu. Dia tidak menjelaskannya mengapa dia berpindah begitu sahaja tanpa memberitahu dia dan Amirah.. Dia tidak menjelaskan mengapa dia baru sahaja menghubungi mereka (Amirah sebenarnya) sebaik sahaja seminggu dia berpindah di sana? Yusuf.. dia masih dengan sikapnya.


Namun, ada sesuatu yang menguntum senyumnya. Sekuntum bunga berwarna kuning disertai juga dengan kad kecil di dalam gift box tersebut.. Tertulis..


BUNGA ALAMANDA INI UNTUKMU

P/s; aneh, ada juga yang menyukai bunga berwarna kuning ini. Apa pun, Mar sesuai dengannya.



..::TAMAT::..


____________________________________________________

__________________________________________



Alhamdulillah, akhirnya e-cerpen ini siap juga akhirnya. Insya-Allah e-cerpen ini bakal dinovelkan. Terima kasih kepada semua yang setia membaca dan menunggu penghabisan cerpen ini dari awal hingga akhir.. Saya sangat menghargainya! Moga bermanfaat.


Salam,


ANAQI