Pengumuman~!

Selamat datang ke Ceritera Minda Kayangan! Sebenarnya blog ini masih dalam pengubahsuaian.. Sebab blog yang asal sebenarnya di sini; Berikanku Cahaya. Jadi, 'perpindahan' ke sini memerlukan saya menyesuaikan diri di blog baharu.

Thursday, December 18, 2008

Alamanda Untukmu [3]

ALAMANDA UNTUKMU [3]

[Edisi Belum Edit oleh Anaqi]




Hari masih pagi benar. Langit masih gelap membiru sementara matahari masih cuba untuk mencuri pandang untuk menebarkan cahayanya. Angin dini hari yang dingin terasa mencucuk-cucuk. Taman mini yang menjadi mangsa lepaknya lengang; sunyi sekali. Yusuf merebahkan dirinya ke atas rumput yang menghijau di tebing tasik. Dedaunan hijau masih lagi berembun. Sesekali dia melepaskan keluhan, mengimbau kembali peristiwa semalam yang menyebabkan dia merasakan dia disihir ketika itu. Entah mengapa dia berubah menjadi Yusuf yang peramah- sifat yang terakhir sekali untuk dia pilih apabila berkomunikasi dengan sesiapa saja sejak… Ah, lupakan!


Kuasa sihir apakah yang dimiliki oleh gadis itu yang menyebabkan dia begitu ringan mulut untuk memohon salam perkenalan? Mungkinkah kerana lukisan-lukisan gadis itu di dalam buku lukisannya yang membuat hatiku tertarik atau disebabkan kenangan bunga alamanda itu sendiri? Ah, sukar sungguh untuk menebak hati ini yang sudah tidak mendengar arahan tuannya! Yusuf mengeluh lagi lalu bangun berdiri, ingin berjoging seperti kebiasaan hariannya pada hari minggu sebegini.


Sejak dari peristiwa 'perkenalan' di taman mini tersebut, mereka sering sahaja terserempak di kawasan sekolah dan juga di sekitar kawasan perumahan Taman Merwing ini. Di mana ada Mariah, di situlah adanya Amirah menemani sisinya. Dua bulan selepasnya mereka bertiga menjadi kawan, kawan biasa kata Mariah. Mariah pernah terfikir dan bagaikan tidak percaya boleh berkawan dan bercakap dengan kaki ponteng, kaki gaduh dan perengus di sekolah mereka. Apabila berbual dengan Yusuf, dirasakannya Yusuf bukanlah seperti khabar-khabar angin yang pelajar-pelajar lain sering sebutkan.

''Yusuf, betul ke kau ni suka ponteng kelas dan suka cari pasal dengan orang? Aku rasa macam mustahil je bila kitorang berkawan dengan kau,'' Amirah memberikan pendapat 'berani'nya pada suatu petang sewaktu mereka berada di taman mini di kawasan perumahan mereka, Taman Merwing. Mariah dan Amirah berteduh di bawah pohon rendang yang menjadi saksi perkenalan mereka dua bulan yang lalu. Yusuf pula berada di dalam jarak lebih kurang lima tapak kaki daripada mereka iaitu di tepi tebing tasik kecil itu. Mereka sedang mengulangkaji pelajaran di taman mini tersebut. Mata pelajaran add maths.


''Dulu..mungkin.. Tak, bukan 'mungkin' tapi memang 'iya'. Dulu aku bagaikan dah hilang arah untuk hidup. Sekarang, mungkin pengalaman yang menyebabkan aku berubah dan menerima hakikat,'' jawab Yusuf sambil mengeluh, melemparkan pandangan kepada kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan. Mariah menjeling menegur ke arah Amirah. Mereka berdua sebenarnya sedikit kabur dengan jawapan jejaka itu tetapi tidak berani menyoal dengan lebih lanjut.


''Mariah, awak pandai melukis kan? Boleh tak saya minta tolong awak lukiskan sesuatu untuk saya?''


Mariah yang ketika itu sedang leka bermain dengan pensil dan buku lukisannya yang bernama Alamanda mendongak terkejut memandang Yusuf. Jejaka itu masih lagi memandang ke tempat permainan kanak-kanak tadi. Amirah memandangnya sambil tersengih sambil menaikkan ibu jari.


''Saya bukannya pandai sangat melukis. Conteng-conteng macam tu je bolehlah.'' Kata Mariah merendah diri sambil matanya menikam helaian buku lukisan kesayangannya. Buku latihan add maths miliknya ditindih dengan buku Alamanda itu.


''Please… Saya berharap sangat..'' Yusuf terus mendesak dengan suara mendayu gemersiknya itu. Sekilas Yusuf memandang wajah Mariah dan sekilas itu juga dia berpaling, mengarah matanya menjamah telatah kanak-kanak sebentar tadi. Mariah serba-salah.


''Diam tandanya setujulah tu. Malu-malu pulak kau ni, Mar. Biasalah tu, dia ni tak boleh orang puji sikit. Tengok, muka dia dah merah..'' usik Amirah sambil ketawa kecil.


''Ami!!''


Amirah dan Yusuf serentak tergelak, membuatkan Mariah malu sendiri. Amirah mengerling jam tangan berwarna hitam di pergelangan tangannya. Hampir menunjukkan pukul lima petang.


''Dah nak pukul lima ni. Marilah balik, tak baik berlama-lama sangat kat sini. Jom balik sama-sama,'' ajak Amirah sambil membetulkan kaca mata berpetaknya.


''Mariah…boleh kan tolong lukis..?'' Yusuf rupanya masih menanti jawapan Mariah sedari tadi yang masih membisu. Sedetik…dua detik.. Mariah kemudiannya mengangguk dengan mata masih menikam helaian buku lukisan Alamandanya. Terpancar sinar kegembiraan di wajah Yusuf ketika itu.


''Jom gerak! Aku dah bosan tengok drama korang ni..aishh..'' usik Amirah sambil berpura-pura mempamerkan wajah bosannya lalu bingkas berdiri. Nota add maths di tangannya yang terkuak sedari tadi dicantumkan kembali yang juga terselit pensil 2B di tempat yang baru dibacanya.


''Ami!!'' kali ini jeritan kecil itu serentak keluar daripada mulut Mariah dan Yusuf. Amirah tergelak. Wajah keduanya telah berubah riak.



* * *



''Berkawan dengan si Yusuf yang perangai 'bagus' tahap gaban tu? Korang tak fikir ke pasal keselamatan korang? Budak macam dia tu mesti ada muslihat apa-apa untuk dekati kamu berdua ni!'' bentak Abang Mus marah ketika berada di belakang halaman rumah Mariah. Mariah dan Amirah terkulat-kulat mendengar 'syarahan' Abang Mus. Abang Mus ternampak mereka bertiga berjalan beriringan bersama jalan-jalan di Taman Merwing sementara haluan pulang rumah mereka masih lagi sama. Abang Mus merupakan bekas pelajar SMK Merantau dan tahun ini sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Semasa tahunnya, nama Yusuf telah cukup popular.


''Yusuf tu baik aje, dia tak pernah ambil kesempatan pun dekat kitorang. Cubalah Abang Mus sendiri berkawan dengan dia..'' Amirah menjawab dengan wajah yang tegang.


''Oh, 'baik' la kononnya? Mula-mula memang la baik sebab nak raih percaya korang, lepas dapat yang tu, barulah dia pedajal! Dia kasi korang merokok ke..apa entah nanti..''


''Abang Mus jangan nak main cakap sedap mulut aje!! Dia dah berubah. Sekarang dia selalu hadir ke kelas, datang awal ke sekolah, penampilan pun semakin kemas..dan juga..'' ayat Amirah pantas dipintas oleh Abang Mus yang semakin berang.


''Apa-apa pun aku tak suka korang berkawan dengan orang yang ada masalah macam dia tu! Hati orang ni kita tak boleh jangka baik buruknya!''


''Abang Mus mungkin ada hak untuk halang Mariah daripada berkawan dengan Yusuf, tapi bukan dengan saya!! Abang Mus bukannya sesiapa dan langsung tiada hak untuk halang saya berkawan dengan Yusuf. Macam yang Abang Mus cakap tadi, hati orang lain kita tak dapat jangka baik buruknya. Jadi, Abang Mus ni ada kuasa psikik dapat tahu yang Yusuf tu memang jenis pedajal orang?'' hambur Amirah tanpa berlapik.


Abang Mus hanyalah abang kepada Mariah, rakan karibnya dan bukannya keluarganya yang hendak melarang itu ini. Pantas dengan itu, Amirah lantas keluar dari halaman rumah Mariah, menuju pulang ke rumahnya yang hanya selang beberapa buah rumah dari rumah Mariah. Abang Mus mendengus menjeling kelibat Amirah yang berlalu pergi. Mariah pula yang diam tidak menjawab sedari tadi, masuk ke dalam rumah tanpa memandang wajah abangnya yang sedang dilanda nafsu amarah.



[bersambung…]