Pengumuman~!

Selamat datang ke Ceritera Minda Kayangan! Sebenarnya blog ini masih dalam pengubahsuaian.. Sebab blog yang asal sebenarnya di sini; Berikanku Cahaya. Jadi, 'perpindahan' ke sini memerlukan saya menyesuaikan diri di blog baharu.

Saturday, December 13, 2008

Alamanda Untukmu [1]

ALAMANDA UNTUKMU [1]

[Edisi Belum Edit oleh Anaqi]



Angin beralun lembut petang itu. Damainya jelas terasa. Awan berarak seakan-akan tersenyum menutupi cahaya matahari yang menyengat. Waktu yang sesuai untuk beriadah. Di sebuah taman, seorang gadis sedang duduk bersila di bawah sepohon pokok yang rendang, beberapa tapak dari tasik. Gadis itu sedang melakar sesuatu di sebuah buku nota yang berwarna merah lembut. Dia memakai baju Punjabi labuh berwarna kelabu dipadankan dengan seluar slack longgar berwarna hitam. Dia memakai selendang labuh bidang 60 yang juga berwarna hitam. Kulit gadis itu berwarna putih pucat dan berwajah separa bujur. Matanya sedikit sepet dan berbulu mata lebat terpacak. Hidungnya separa mancung dan bibirnya berwarna merah jambu cerah. Sesekali gadis itu berubah kedudukan tempat duduknya kerana kakinya berasa kebas. Dia memakai stoking panjang paras tengah betis dan berkasut Converse. Gadis itu atau nama penuhnya ialah Mariah binti Ilyasa merupakan pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Merantau yang jaraknya hanya beberapa meter dari teratak rumahnya.


"Hoi, siapa kau?" sergah suatu suara garau gemersik tidak jauh dari tempat Mariah sedang berteduh. Dia tersentak. Spontan dia menoleh. Seorang jejaka sedang menghampirinya. Ah, dia? Hati Mariah berbisik. Mariah spontan bangun. Jejaka itu tinggi lampai dan kurus; namun badannya bukanlah 'sekeping'. Kulitnya sawo matang. Wajahnya bujur dan rahang pipinya sedikit kelihatan. Rambutnya pendek tetapi kusut-masai. Matanya kecil sahaja tetapi pandangannya tajam menikam. Mariah tidak memandang lelaki tersebut. Matanya menekur tanah taman itu. Hatinya berdebar. Dia tidak pasti mengapa dia disergah sebegitu rupa. Dia ada berbuat salahkah?


"Pekak ke? Aku tanya siapa kau? Berani menceroboh kawasan berteduh aku!" tengkingnya. Darah Mariah tersirap. Mukanya merah padam. Oh, kawasan teduhan dia? Apa dia ingat kawasan ini dia yang punya? Hati Mariah menggerutu. Mariah mendongakkan kepala. Memandang wajah lelaki itu sekilas. Kemudian dia memalingkan badannya. Terus dia beredar dari situ tanpa bersoal jawab; tanpa protes.

Laju kakinya melangkah meninggalkan taman mini itu. Hatinya menyumpah lelaki itu. Huh, sudahlah di sekolah sudah membuat onar. Kini, di sini pula? Lelaki itu; si devian yang sering melakukan salah laku di sekolah. Ponteng kelas, kaki gaduh, pendiam dan berpakaian selekeh ke sekolah! Sebut sajalah nama Ahmad Yusuf bin Farid, mustahil tiada siapa di SMK Merantau yang tidak mengenalinya!

Sebagai pengawas sekolah,-Mariah, tentunya terlibat dalam bahagian memperbaiki disiplin pelajar. Namun dia belum pernah bertemu secara langsung seperti tadi dengan Yusuf. Yusuf; merupakan pelajar tingkatan lima dan mengambil aliran sains tulen. Sayang sekali, pelajar cerdas ketika di menengah rendah dahulu tidak dibawa ke menengah atas. Berbekalkan 7A PMR. Entah mengapa Yusuf mengalami perubahan mendadak apabila naik sahaja ke menengah atas. Jika dikatakan mengalami perubahan kerana pengaruh rakan sebaya; tidak mungkin! Sebab dengan sikapnya yang berubah demikian, dia manalah mempunyai kawan tambahan pula tahun ini dia tampak pendiam dan menyendiri. Dia akan bergaduh jika orang lain yang mengganggunya.


Mariah berjalan di tepi Jalan Desa. Terdapat kawasan perumahan di tepi jalan ini. Rumah teres dua tingkat yang sederhana berwarna jingga terang dan atap berwarna merah. Di hadapannya terdapat persimpangan jalan yang di tepinya mempunyai rumah-rumah teres dua tingkat. Kakinya berhenti melangkah di sebuah rumah. Di tepi pintu pagar itu terlekat perspek berwarna hitam yang tertera NO. 23. Di kawasan rumah itu terdapat sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam dan dua buah basikal kanak-kanak serta sebuah basikal dewasa.


Mariah menolak pintu pagar yang dicat dengan warna emas yang tidak berkunci itu. Dia mengetuk pintu rumah yang diperbuat dari kayu jati dengan disertai salam. Dia memutarkan tombol pintu. Berkunci. Di dalam kedengaran suara-suara bising yang tidak asing lagi. Tangannya mengetuk pintu bertalu-talu. Dia memilih untuk tidak meninggikan suara, khuatir mengganggu jiran-jiran sebelah. Pintu dibuka. Seorang kanak-kanak lelaki berwajah bulat dan berkulit coklat cerah terjengul di muka pintu sambil tersengih. Gigi dua batangnya yang rongak kelihatan.


''Kak Mar dah balik!!'' jerit kanak-kanak di hadapannya itu sambil menembak pistol air ke wajahnya. Mukanya tepat terkena palitan air tersebut. Pantas kanak-kanak itu berlari masuk ke dalam rumah.

''Am, jaga kau!'' Mariah memberi amaran. Dia meletakkan kasut Converse yang dipakainya di rak kasut. Rak kasut kayu berjaring tiga tingkat itu penuh dengan kasut-kasut dan selipar. Selipar berwarna biru langit milik Abang Mus, kasut-kasut sekolah berwarna putih yang bersaiz budak-budak sekolah milik adik-adiknya, Hussein dan Masyitah. Dua pasang kasut hitam jenis kulit tiruan miliknya dan Abang Mus; kasut sekolah. Kasut berkilat jenis kulit milik ayah yang berwarna hitam, sandal milik ibu yang berwarna putih keperakan serta selipar-selipar adik-adiknya yang lain untuk pergi jalan-jalan. Dia masuk ke dalam rumah sambil mengesat mukanya yang terkena air dengan telapak tangan kanan.



** ** **



Yusuf duduk bersandar di bawah pokok rendang di taman tersebut. Memikirkan siapa gadis pengecut yang melarikan diri tanpa sepatah bicara. Melawan tidak, menjawab tidak. Huh, penakut! Hatinya menafsir sendiri. Dia menarik nafas. Kakinya dilunjurkan. Tangannya disilangkan rapat ke perut. Tiba-tiba matanya menangkap sesuatu di sisinya. Terletak sebuah buku sebesar buku log berwarna merah lembut tergeletak di situ. Tertera tulisan tangan di atas kulit buku tersebut yang bulat-bulat dan tegak, tertulis 'ALAMANDA'. Tangannya mencapai buku itu. Apabila dibuka, di tengah helaian muka suratnya terdapat sebatang pensel dan pemadam. Dilihatnya muka surat itu.


Sebuah lukisan cantik terlukis indah. Pemandangan sebuah taman, terdapat tasik yang berjambatan, angsa-angsa sedang berenang di tasik dan burung-burung berterbangan. Terdapat juga teratai di permukaan tasik dan bunga-bunga liar tumbuh di tebing tasik. Warna dan bayangan lukisan tersebut diwarnakan dengan pensel sahaja. Tetapi kelihatan sungguh cantik. Senikah ini? Cetus hatinya. Dialihkan pensel dan pemadam tersebut.


Halaman-halaman yang lain dibeleknya tanpa rasa bersalah menceroboh hak milik orang tanpa izin. Pada halaman yang pertama terdapat lukisan sekuntum bunga Alamanda yang dilukis cantik sekali dan hanya diwarnakan dengan pensil juga. Terdapat lukisan potret sebuah keluarga yang besar.

Terdapat seorang lelaki yang berada di tengah, mukanya sedikit berkedut. Berjanggut sedikit lebat dan berkopiah. Mungkin ini seorang bapa. Di sebelah kanannya pula seorang wanita yang juga berkedut sedikit di wajahnya. Bertudung labuh dan sedang tersenyum. Di kiri lelaki itu terdapat pula dua orang lelaki dewasa yang lain. Seorang berkaca mata manakala yang seorang lagi tidak. Di kanan wanita tadi pula terdapat gambar dua orang gadis. Seorang berselendang labuh manakala seorang lagi bertudung labuh. Di hadapan mereka terdapat tiga orang kanak-kanak. Yang paling kanan seorang kanak-kanak lelaki yang rambutnya kusut-masai yang sedang tersengih. Di tengahnya pula terdapat seorang kanak-kanak perempuan yang rambut panjangnya ditocang dua. Seorang budak lelaki yang botak berada di sisi kirinya.


Keluarga yang besar.


Dia terus membelek. Terdapat lagi lukisan-lukisan bertemakan flora dan fauna seperti bulan yang cahayanya dipantulkan ke dasar laut. Lukisan kucing yang sedang tidur, titisan hujan dan embun di dedaunan.


Ah, sungguh berbakat!


Barulah hatinya diterpa perasaan ingin tahu siapakah pemilik buku berwarna merah lembut ini. Dia membuka lembaran paling hadapan yang terlukis sekuntum bunga alamanda tadi. Baru dia tersedar di bahagian bawah di sudut kiri sebuah tulisan bulat-bulat dan tegak ditulis dengan saiz yang kecil;


MARIAH ILYASA a.k.a. MAR 4 MERANTI.


Yusuf tersentak. 4 Meranti? Dia bersekolah di SMK Merantau jugakah? Siapa? Dia mula berfikir. Gadis tadikah? Aneh, dia berasa baru pertama kali melihat gadis itu. Tidak pernah dia bertemu wajah itu di sekolah, agaknya. Dia tersenyum.

Gadis ini memang berbakat.




[bersambung...]