Pengumuman~!

Selamat datang ke Ceritera Minda Kayangan! Sebenarnya blog ini masih dalam pengubahsuaian.. Sebab blog yang asal sebenarnya di sini; Berikanku Cahaya. Jadi, 'perpindahan' ke sini memerlukan saya menyesuaikan diri di blog baharu.

Friday, December 24, 2010

Rigel [2]; Panggilan

[credit]


Usapan dingin aircond menyapa suasana bilik. Selesa. Damai. Namun ironi sekali hatinya. Badannya disandarkan pada kerusi. Kedua-dua belah lengannya direhatkan di atas meja belajar di hadapannya. Di tangan kanannya terdapat kertas yang terisi 'memo' dan nombor telefon siapa entah. Bibir Aicha memekar senyum.

Mesti ada sesiapa yang hendak kenakan dia ni. Aicha lantas mencapai telefon bimbitnya lalu menekan keypad nombor yang tertera. Telefon diletakkan di telinga kanan. Kedengaran nada berbunyi.. Tuttt... Tutt..

"Assalamualaikum. Perkhidmatan Bima Sakti di udara. Kami akan menolong anda dengan solusi yang bernas mengikut tuntutan Allah dan Rasul, insya-Allah. Sila kenalkan diri, umur dan alamat." Suatu suara dalam perempuan menyapa.

"A..a..apa?"

Telefonnya dilarikan daripada telinga untuk ditatap. Matanya membulat. Biar betul? Siap dengan intronya sekali!

“Helo.. helo.. saudari?” soal suara dalam di talian. Aicha menarik nafas lalu dihembuskan perlahan. Telefon bimbit diletak semula di telinga.

“Ya.. saya.. Boleh saya tahu siapa tu?” Ayat klise!

“Rigel.”

Hah? Apa? Dia sebut jenama gel rambut ke tadi?

"Cik?"

"Maaflah, saya rasa saya salah nombor. Bye." Punat merah ditekan. Fuh, apa ni? Telefon diketuk di kepala. Kenapa macam real je? Samsung di tangan dipandang. Hendak telefon sekali lagi..?

Geleng. TAK. Lain kali sajalah. Baru aku boleh sembur puas-puas siapa yang hendak mainkan dia. Huh. Sambung buat esei balik!


** ** **

Tik tok.

Matanya terbuka. Ada mesej masuk. Digosok-gosok matanya. Aicha memanglah macam ni. Sesuatu bunyi yang bising sedikit akan membuatkannya terjaga dari tidur. Sensitif terhadap bunyi.

Pukul berapa ni? Siapa yang hantar mesej pagi-pagi buta ni? Aicha mencapai telefon Samsung di tepi bantal.

Bangkitlah wahai hamba Allah.
Bangkitlah untuk bercinta dengan-Nya di sepertiga malam.
~Rigel

Dihantar pada.. pukul 5.02 pagi.. Eh, pukul 5 pagi sekarang?!


[bersambung..]

Wednesday, December 8, 2010

Rigel [1] ; Surat

[credit]


"Siti Rumaisya binti Abdul Qayyum.. kau dengar tak ni?!" Kepala gadis yang dilapisi tudung sekolah itu menjadi mangsa ketukan pen Faber Castel di tangan.

"Uit.. Main-main kepala ni apa kes?" Marah Aicha sambil menggosok kepalanya yang diketuk. Fathiah menayangkan gigi.

"Kau berangan, siapa suruh?" bidas Fathiah geram. Apalah hendak jadi dengan kawannya yang seorang ni.

Semalam bukan main lagi memaksanya untuk pulang lewat hari ini. Merayu-rayu meminta tolong untuk mengajar subjek Kimia. Hari ini, si Aicha tu sendiri yang tenggelam timbul dalam alam fantasi mana entah bila dia berbuih mulut menerangkan itu dan ini.

"Sorry. Terfikirkan masalah dalaman negara tadi." Senyum comel. Fathiah menggelengkan kepalanya. Loyar buruk punya kawan. Mata dilarikan kepada jam tangan di pergelangan kirinya. Jam menunjukkan 4.24 petang. Kedengaran kipas sedang berpusing ligat di atas kepala mereka di kelas tersebut. Buku teks kimia di atas mejanya yang sedang terbuka ditutup.

"Aku nak balik. Hampir 4.30 dah ni." Fathiah mulai berkemas.

"Yayah.. sorry.."

"Lain kali kalau kau berangan lagi masa aku ajar kau, siaplah! Kau takkan nampak muka tok guru ni lagi yang mengajar kau." ugutnya.

"Okey.. okey.. Aku nak pergi kelas jap. Jumpa kat pondok menunggu."

Aicha bergegas keluar daripada kelas 5 Mawar. Persekitaran sekolah lengang. Sejam telah belalu setelah tamatnya sesi persekolahan. Dia sengaja ingin stay up di sekolah lebih masa untuk belajar bersama teman rapatnya, Fathiah. Tahun ini mereka tidak bersama dalam satu kelas. Fathiah berada di kelas 5 Mawar manakala dia di 5 Orkid. Fathiah tu memang bijak, layak pun duduk di kelas pertama. Dia ni tercampak ke kelas kedua aja. Sebelah kelas Fathiah.

Kakinya melangkah ke dalam kelas 5 Orkid. Tempat duduknya di barisan tengah kelas dan pada baris ketiga. Kelas kosong, tidak berorang. Buku teks Kimia dan kotak pensil di tangan dimasukkan ke dalam beg hitamnya. Barang-barang bawah meja diselongkar. Dia memang tidak suka meninggalkan barang-barang di bawah meja. Sebelum pulang ke rumah, memang Aicha akan mengosongkan barang dalam meja.

Tiba-tiba secebis kertas berlipat ditangkap daripada kerlingan matanya. Apa ni? Tangannya mencapai kertas berlipat itu langsung dibuka. Matanya dibeliakkan.

Nombor siapa ni? Pandai-pandai aja promote bawah meja aku? Ish, geram betul. Aicha membebel dalam hati. Di bawah nombor atas kertas itu tertulis..

Anda ada masalah? Tiada sesiapa yang sudi mendengar luahan hati anda? Sila telefon nombor yang tertera. Insya-Allah, di sini ada yang sudi mendengar!

Erk.. Siapa yang buat kerja sambilan jadi pakar psikiatri tak bertauliah ni? Nombor itu diteliti. Peliknya..

"Aicha, buat apa tu?" sergahan di belakangnya membuatkan Aicha cepat-cepat memasukkan kertas itu ke dalam poket baju sekolah. Kepala dipusing.

"Kau tak boleh ke sekurang-kurangnya beri salam dulu?" Marahnya.

"Alah, sayang.. dengan boyfriend sendiri pun nak marah." Senyum. Jejaka berambut pendek tetapi terpacak itu melemparkan senyuman yang lebih bergula.

"Terhendap-hendap ni kenapa?" soal jejaka itu lagi.

"Kau tu yang sibuk-sibuk datang mengendap kat sini kenapa? Orang tengah berkemas ni, nak balik."

Aicha menyandangkan beg sekolah di kedua-dua belah bahu. Kakinya pantas bergerak menuju ke luar kelas. Nanti nampak dek orang dia berdua saja dengan si mamat tu nanti kena cekup pula. Macam kes si Syamimi minggu lepas. Heboh satu sekolah. Buat malu aja. Bezanya, dia orang tu memang dah 'berjihad' atau berniat dari awal lagi hendak berdua-duaan dalam kelas. Nah, kan dah kena!

"Aicha, tunggulah. Jom balik sama-sama."

Aicha buat tidak tahu. Dalam fikirannya masih memikirkan isi kandungan di dalam kertas tadi. Siapa yang hendak pedajal dia ni?


[bersambung..]

Monday, December 6, 2010

Rigel [intro..]

*Nantikannya akan datang.... RIGEL oleh ANAQI..

SCENE I

Nombor siapa ni? Pandai-pandai aja promote bawah meja aku? Ish, geram betul. Aicha membebel dalam hati. Di bawah nombor atas kertas itu tertulis..

Anda ada masalah? Tiada sesiapa yang sudi mendengar luahan hati anda? Sila telefon nombor yang tertera. Insya-Allah, di sini ada yang sudi mendengar!

Erk.. Siapa yang buat kerja sambilan jadi pakar psikiatri tak bertauliah ni? Nombor itu diteliti. Peliknya..


SCENE II

Telefonnya dilarikan daripada telinga untuk ditatap. Matanya membulat. Biar betul? Siap dengan intronya sekali!

“Helo.. helo.. saudari?” soal suara dalam di talian. Aicha menarik nafas lalu dihembuskan perlahan. Telefon bimbit diletak semula di telinga.

“Ya.. saya.. Boleh saya tahu siapa tu?” Ayat klise!

“Rigel.”

Hah? Apa? Dia sebut jenama gel rambut ke tadi?


SCENE III

“Yayah.. Cuba kau ketuk kepala aku. Aku rasa kepala aku tak betul dah ni..” Rayu Aicha sambil buat muka comel. Fathiah buat muka hodoh.

“Kepala kau tu hari-hari pun memang tak betul dah.. Buang masa aku je ketuk kepala kau.. Sekali pun aku hentam, macam tu jugak pun.” Bidasnya selamba.

“Yayah.. Aku rasa aku ni ada connection dengan kerajaan langitlah..”

“Dengan Ayah Pin ke?”

“Tak. Dengan gel rambut.”

Sunday, October 17, 2010

Ukhuwah Cinta [6]

UKHUWAH CINTA (special 6)

[Edisi Belum Edit]

“Tak imbang!!”

Huh, sesiapa yang berkawan dengan budak yang ambil subjek Prinsip Perakaunan mungkin sudah biasa dengan dua patah perkataan tersebut. Entahlah apa yang tidak imbang itu, dia tidak pasti. Dia bukannya ambil pun subjek tu. Tapi kadang-kadang nampak Nadiah membuat kerja sekolah PP menyebabkan mulutnya bertanya setiap apa yang Nadiah sedang buat sehinggakan membuatkan gadis itu tidak jadi pula menyiapkan kerja sekolah. Yalah, tiba-tiba sahaja menjadi guru tidak bertauliah, mengajarnya- si Ainil Yaqin yang mengambil aliran Sains Tulen.

“Tiap kali exam mesti tak cukup masa hendak jawab paper. Patutnya cikgu patut buat analisis lebih terperinci sebab memang masa yang diberikan memang tak cukuplah.” Bebel Nadiah lagi di wakaf menunggu pelajar perempuan di sekolah. Ainil Yaqin diam, pandangannya dilontarkan ke arah jalan raya di luar pagar sekolah. Darunee hanya sengih manakala Nasyitah mengangkat alis kirinya.

“Bila kau sudah jadi Menteri Pelajaran nanti, kau guballah sendiri.” Ejek Nasyitah. Serentak mereka bertiga ketawa kecuali Ainil Yaqin. Dia kelihatannya tenggelam dalam emosinya sendiri. Nasyitah memandang Darunee dan Nadiah sebelum mengisyaratkan matanya kepada Ainil Yaqin. Darunee menggeleng kepala.

“Apa kena dengan kawan kita ni?” Darunee sudah meraut lakaran aneh pada wajahnya.

“Simptom orang kena risik,” bisik Nadiah perlahan. Nasyitah sudah melopong. Kerutan di dahi Darunee kian bertambah.

“Nad, kau memang nak suruh aku beritahu Abang Amin yang kau admire dia ya?” tiba-tiba sahaja Ainil Yaqin berpaling mengugut sambil memandang tajam ke arahnya.

“Uit, fitnahlah Qin!” Tangannya sudah menampar peha rakannya itu. Ainil Yaqin sengih. “Aku risaulah, tahun depan sudah tingkatan 5. Exam akhir tahun ni dah nak habis pun.. Lemah betul asyik menghadap buku hari-hari,” keluh Ainil Yaqin. Si Nadiah ini pun satu. Sejak bila entah dia sudah pandai menyakat orang tiba-tiba. Biasanya bab sakat-menyakat ni dipelopori oleh Nasyitah yang sentiasa happy tidak bertempat tu.

“Relakslah. Lepas habis aja exam, kita keluar sama-sama raikan okey? Nini dah tak sabar-sabar hendak belanja tu.” Nasyitah mengangkat alis kiri kepada Darunee. Gadis cina itu tersengih.

“Aku belanja, kau bayar.”

** ** ** **

Ah, tak sabar-sabar rasanya hendak balik ke rumah! Rindunya pada tanah negeri tercinta.. Aduhai, dia juga akan merindui bumi wakaf KISAS ini buat tempoh sebulan setengah.. Cuti sekolah, selamat datang! Fathir sudah menongkat siku ke tingkap bas. Setengah jam lagi, insya-Allah sampailah. Pandangan matanya dilontarkan keluar tingkap. Fikirannya menerawang jauh.

“Fad, jadi pak ustazlah bila kau balik dari sana nanti. Nanti, dengan kita orang pun kau dah tak kenal dah.. Ber- ‘ana’ ‘enta’ kita nanti.” Tawa berhamburan sana sini di pantai tersebut apabila Faiz membuka bicara. Budak-budak inilah.. mati-mati ingin juga buat jamuan ringkas sempena dia hendak berpindah sekolah. Eh, silap. Bukan dia seorang yang hendak berpindah, si Shaffuan tu pun hendak pindah ke MRSM, Hisyam ke SBP dan Faiz dapat MCKK.

“Yalah.. Padan sangatlah dengan si Yaqin tu.. Terkejut monyet dia nanti bila kau dah jadi pak ustaz!” tambah Khairuddin. Fathir tersengih. Kawan-kawannya ini memanglah.. Jamuan pada hari tersebut semuanya disponsored oleh emak Hisyam yang masakkan nasi goreng kampung berserta ayam goreng. Kek batik pula Azrai yang buatkan, sah-sah memang dia digelakkan oleh semua di situ. Tidak sangka pula Azrai pandai buat kek batik. Katanya kek batik memang kegilaannya, sehinggakan dia sanggup berguru dengan ibunya. Minuman pula dibeli secara self service di gerai-gerai di tepi jalan berdekatan dengan pantai.

Ya, dia begitu rindu akan rakan-rakannya di SMK Taman Budiman. Cepatlah, masa berlalu.. cepatlah bas bergerak.. Dia sudah rindu ingin berjumpa dengan ibu.. rakan-rakan.. Ingin ucap terima kasih sangat dengan ibu, kerana telah berkeras memaksanya berpindah ke sini; bumi wakaf yang mulia! Bumi wakaf yang telah melahirkan dirinya yang baru; dirinya yang lebih baik.. Insya-Allah. Barulah dia mengerti mengapa ibu sedari dahulu lagi ingin dia bersekolah di sekolah agama. Alhamdulillah.

[bersambung..]

Pesanan;

rasa-rasa macam hendak hentikan entri Ukhuwah Cinta.. Untuk sebulan ini, maaflah.. saya mungkin sedikit sibuk.. dan mungkin tidak akan menghantar entri dalam jangka masa yang pendek ini.

Salam,

ANAQI

Friday, October 1, 2010

Ukhuwah Cinta [5]

UKHUWAH CINTA (special 5)


[Edisi Belum Edit]


Arghhh.. Tak nak raya!! Jerit hati Nadiah, geram. Manalah tidaknya, kerja sekolah yang diberi seolah-olah mereka diberikan cuti dua bulan, bukannya dua minggu! Meja belajarnya sudah serabut dengan kertas-kertas kerja sekolah cuti terancang, buku teks dan buku rujukan. Iyalah, hendak buat kerja sekolah Fizik, nota Sejarah belum siap lagi. Hendak buat nota Sejarah, latihan add math belum buat lagi. Hendak buat latihan add math, teringatkan latihan Kimia yang tertangguh.. Aduhai, pening…pening..


Resam orang belajar agaknya memang macam ni.. Nadiah menggeleng kepala. Kakinya melangkah menuju ke katil ingin membaringkan badan. Matanya tertancap kepada jam loceng hijau berbentuk daun di atas meja rias berdekatan katilnya. Sudah pukul dua petang. Melihatkan jam loceng itu, dia teringatkan Ainil Yaqin, sahabatnya. Jam loceng itu dihadiahkan oleh Ainil Yaqin, sewaktu ulang tahunnya yang ke-13, beberapa tahun yang lalu. Semalam, sahabatnya itu telah menelefonnya.


“Selamat Hari Raya Aidilfitri..”


“Uit, berilah salam dulu kalau nak ucap selamat hari raya pun.” Sindir Nadiah. Suara di hujung talian sudah ketawa. Padahal lagi dua tiga hari hendak raya. Banyak perkara yang mereka bualkan. Hinggakanlah ke perkara kakaknya; Ainul Syifa’. Kakaknya yang seorang itu memang cantik amat. Persis gadis arab. Maklumlah, keluarga Ainil Yaqin ini memang ada darah campuran arab. Kakaknya itu matanya bulat bercelak, bebola matanya hitam arang. Kulitnya putih, tidak seperti Ainil Yaqin yang sedikit perang.


“Hah, kau biar betul? Habis tu, aku kena ucap tahniahlah ya?” teriak Nadiah, terkejut dengan berita baharu itu.


“Aduh, kenapa aku pulak kau ucap tahniah? Kak Ifa pun diam aja.. Aku pun malas hendak tanya lebih.”


“Bukan ke sebelum ni kau ada beritahu yang Ustaz Syawal tu ada something dengan Kak Ifa? Mungkin sebab tu kot Kak Ifa belum bagi jawapan.” Tekanya lagi. Iyalah, padan sangat kalau Ustaz Syawal bergandingan dengan Kak Ifa. Tapi kalau ceritanya sudah lain begini..


“Entah. Aku agak saja sebelum ni. Lepas Ustaz Syawal sudah balik Malaysiatahun lepas, aku tengok macam tiada apa-apa pun. Kak Ifa pun mengelak bila aku saja kenen-kenen dia dengan ustaz. Entah.”

Nadiah menggaru pelipisnya. Hish, kalau dia jadi Kak Ifa.. dia pun dalam dilema. Bertuahnya Kak Ifa, ada lelaki soleh hendakkan dia. Senyum.


“Qin, kalau aku jadi Kak Ifa, aku terima aja lelaki yang datang merisik tu.. Orang baik-baik tu, kenapa mesti tolak? Mungkin Kak Ifa sudah tak ada apa-apa pun dengan ustaz. Siapa tahu?” Suara di talian diam. Kemudian, kedengaran suara Ainil Yaqin menghela nafas berat.


“Entahlah, Nad.. Aku tak berani nak masuk campur. Lainlah kalau aku yang kena risik. ” Seloroh Ainil Yaqin. Nadiah sudah tergelak. Hish, ada hati nak kena risik ya?

“Qin, kut ya pun nak suruh ‘dia’ datang merisik, sabar-sabarlah dulu. Biarlah dia dah habis belajar kat KISAS dulu.. masa tu kau bersedialah!”

“Wan Nurul Nadiah!!” Tawa Nadiah semakin menjadi-jadi. Alamatnya si Ainil Yaqin tu sudah ‘berasap’ di talian sana. Kalau dia sudah menjerit panggil nama Nadiah dengan nama penuh tu, memang dia tengah marah sungguh-sungguhlah tu!

“Nad, jangan mulalah!” Marah Ainil Yaqin lagi di talian.

Peristiwa semalam terpadam begitu sahaja. Terukir senyum kecil di bibirnya. Qin.. Qin.. Masih lagi ‘fobia’ dengan budak yang sudah pindah sekolah tu. Nadiah kembali menyambung kerja sekolahnya yang tergendala. Hendak mulakan dengan yang mana ya? Lalu dia memutuskan untuk membuat latihan add maths yang wajib menyiapkan 30 soalan dahulu. Seram betul. Siapa kata tingkatan empat merupakan tahun honeymoon?

“Nadiah, tolong jaga dia.. untuk aku.”

“Kalau tak suruh pun memang aku buat pun.. dia kan kawan aku.”

“Dan jangan biarkan dia rapat dengan mana-mana lelaki pun.”

“Aku tak boleh jamin.. Wahid masih terkejar-kejar dekat dia.. Hati dia, mana aku boleh paksa.” Jejaka itu merenung tajam ke arahnya dan Darunee sekilas mendengarkan jawapan sinis itu.

“Aku pun nak nasihatkan kau, jangan menaruh harap dengan dia. Kau kan sudah ada si Nashwa..” Dia menamatkan perbualan singkat itu di situ.. lalu berlalu bersama Darunee, meninggalkan jejaka itu terkial-kial di dalam kelas yang kosong.

Nadiah menggeleng kepalanya. Kalau macam inilah gayanya, macam manalah dia hendak menyiapkan kerja sekolah jika asyik teringatkan imbasan peristiwa yang lalu? Tenang, Nadiah.. Tenang.. Pergi ambil wuduk kemudian sambung buat latihan. Nasihat hatinya. Dia bangun dari kerusi dan terus menuju ke kamar mandi.


** ** ** **


“Hari raya yang paling tak best.. Duit raya tak sampai RM 50 pun tahun ni..” keluh Abqary, memecahkan kesunyian di dalam kelas. Kesunyian yang disebabkan masing-masing terkejar-kejar menyiapkan kerja sekolah yang sepatutnya disiapkan sewaktu cuti sekolah.

“Hei, ingat raya ni sekadar kumpul duit raya ke?” Sindir si Faqihuddin, menjeling Abqary dari balik kertas lab report Kimia yang sedang ditirunya daripada kawannya itu.

“Ukur diri sendiri tu dulu.. Sudah besar gedabak, mana ada yang nak beri duit raya macam masa kecil-kecil dulu.. Sudah besar, masih minta duit raya. Malulah oii!” Suara Shaffuan tiba-tiba menyampuk kuat dari tempatnya berdekatan pintu masuk. Gamat sebentar kelas dengan gelak tawa pelajar lelaki.

Dia orang ni, memang tak berubah. Desis hati Ainil Yaqin. Dia pun sedang menyiapkan lab report Kimia kerana selepas ini merupakan masa Kimia. Wajah Cikgu Zunaini yang garang itu terbayang di hadapan matanya. Kertas si Eliza dijadikan panduan – kononnya!

Tahun ini, dia, Nadiah, Nasyitah dan Darunee Tan tidak sekelas lagi. Masing-masing mengambil aliran yang berbeza. Ainil Yaqin dan Darunee mengambil aliran Sains Tulen tetapi mereka menduduki kelas yang berbeza manakala Nadiah mengambil aliran Sains Perakaunan dan Nasyitah mengambil aliran Lukisan Kejuruteraan. Geng Dhurar telah terpecah; tapi tidak dari segi harfiah. Mereka masih tetap kerap berjumpa kerana satu blok tingkatan empat dan sering juga keluar rehat bersama.

Sekarang sebenarnya waktu Bahasa Melayu, tetapi Cikgu Laili nampaknya tidak nampak bayang sejak dari tadi. Ketua kelas mereka pula, si Azrai sengaja tidak mencari guru itu bahana dia pun terjebak sama dalam aktiviti copy and paste kerja sekolah. Dalam hatinya; moga-moga Cikgu Laili tidak masuk terus ke kelas. Kimia belum siap lagi seyh!

[bersambung..]

Sunday, September 5, 2010

Ukhuwah Cinta [4]

UKHUWAH CINTA (special 4)

[Edisi Belum Edit]


"Yakin seratus peratus?"

Angguk.

"Betul ni?"

Angguk lagi.

"Confirm? Dah fikir masak-masak? Dah istikharah?"

Hishh.. Nak suruh kepala aku senget-benget patah dua mengangguk? Abang Hilmi ni kan.. Dia juga yang awal-awalnya beria-ia hendak aku pergi. Desis hati Fathir.

"Yalah.. Orang dah buat semua tu."

"Alhamdulillah.." Tahmid terlafaz dari mulut Hilmi. Dalam masa yang sama, Fathir juga melafaz tahmid dalam hati. Namun, hatinya sedikit sayu.


** ** **


Lapan bulan telah berlalu. Ramadan tiba. Cuti sekolah menjengah. Dua minggu cuti sempena raya. Hari ini sudah 24 Ramadan. Mata Ainil Yaqin menala ke luar rumah dari tingkap biliknya. Rumah teres dua tingkat ini, yang menjadi kediaman keluarganya, berjiran dengan Ustaz Syawal. Guru yang mengajar subjek Bahasa Arab di sekolahnya. Tingkap biliknya di tingkat atas ni menghala pemandangan di hadapan rumahnya. Tadi dia ternampak sebuah kereta berhenti di hadapan rumah Ustaz Syawal.. dan dia nampak.. seseorang yang telah lapan bulan tidak bersua.. Jejaka cermin mata itu.

Kenapa? Rindu? Soal hati Ainil Yaqin kepada dirinya. Dia ketawa kecil. Mujur benar dia rindukan jejaka tu! Rasa aman sikit hidup. Tapi kadang-kadang rasa janggal juga. Yalah, si Fathir tu memang ada sahaja benda nak mencari pasal dengan dia. Sekarang, sudah tiada orang yang mahu mengajaknya bergaduh. Bibirnya tanpa sedar menguntum senyum.

Moga-moga bila sudah balik dari KISAS tu, banyaklah perangai dia yang sudah di-brainwash dekat sana. Ainil Yaqin sudah ketawa dalam hati. Tapi, dia ada dengar yang sebelum berangkat ke sana, Fathir telah declare couple dengan si cantik manis tu.. Puteri Nashwa, pelajar tingkatan tiga. Entahkan betul ke tidak.. dia tidak tahu dan tidak berminat ingin ambil tahu pun.

Ah, sudah-sudahlah fikir pasal Fathir! Bentak hantinya. Pandangannya cepat dilarikan semula ke atas meja. Kertas latihan sempena cuti terancang yang memang mengancam! Seratus soalan Matematik Tambahan. Tiga esei karangan Bahasa Inggeris yang setiap esei mestilah panjangnya tiga helai muka surat. Dua esei karangan Bahasa Melayu, nota sejarah kena buat sampai bab akhir, nota kimia, Fizik dan latihan Biologi.. Serabut rasanya kepala. Hish, memang tidak cutilah dia kali ini!

Open our eyes, our heart and mind
If you just look bright to see the signs
We can't keep hiding from the truth
Let it take us by surprise

Korus lagu Open Our Eyes daripada Maher Zain berkumandang dari telefon Nokia miliknya yang sedang dicas bateri. Menunjukkan bahawa mesej masuk. Ainil Yaqin membiarkan. Kepalanya sudah serabut dengan latihan add maths di depan mata. Selang beberapa minit kemudian.. korus Open Our Eyes sekali lagi berkumandang. Mesej kedua masuk. Ainil Yaqin menarik nafas lalu menghembuskannya berat.

Siapa pula yang kacau time macam ni? Dicapainya telefon bimbit. Nombor yang tidak dikenali.. Mesej pertama dibaca..


Mengintai orang dari tingkat atas ek?
Rindu? Orang rindu dia jugak ;p


Mata Ainil Yaqin membulat. Mesej kedua pula dibaca.


Tell your mom, Ustaz Syawal sekeluarga ajak berbuka di rumah.
Ainil, selamat berjumpa masa berbuka nanti ya! ~ Fad


Kedua-dua mesej itu didelete. Jangan harap dia akan pergi! Dan jangan mimpilah dia ingin beritahu ummi pasal ni.. Entah-entah si otak separuh Fathir ni saja ingin main-mainkan dia. Huh!



[bersambung...]

Monday, July 5, 2010

Ukhuwah Cinta [3]

UKHUWAH CINTA (special 3)

[Edisi Belum Edit]


"Kak Qin cerita baru-baru ni.. yang ada mamat gila mana entah kejar dia di sekolah."

Kurasakan bagai pisau menyiat hatiku.

"Dan tambah Kak Qin lagi, agaknya pak guard curi tulang pergi singgah minum dekat kedai mamak sampaikan mamat gila tu boleh masuk kawasan sekolah."

Ohh..

"Kak Qin sengaja buka cerita depan Is bukannya apa.. Sebenarnya dia tahu yang Is ada dengan Abang Fad hari tu..Mata dia sudah tunjuk ala-ala killer sign dekat Is.."

Panggilan telefon Ishaq yang disangka membawa berita baik bagiku bertukar sebaliknya. Alamak.. Nampaknya si Ainil ni cepat-cepat aja dapat hidu spy yang 'dipasang' di rumahnya sendiri,- adiknya Ishaq! Yalah, aku pun satu.. Cari nahas dengan si Ainil yang hati keras macam batu dengan budak lelaki. Apa dia fikir aku nak mengorat dia ke apa? Tolonglah.. Boleh pergilah.. Ingat aku desperate sangat hendak minta maaf dengan dia? Huh, boleh jalanlah. Mamat gila dia gelarkan aku.. Okey, aku anjurkan 'keharmonian', kau cari nahas untuk 'berperang' ya, AInil.. Tidak mengapa, itu pilihan kau..

Okey, dia sudah termasuk dalam list musuh untuk berperang walaupun sebelum ini aku bukannya ada musuh pun. Selesai satu masalah.. Tapi masalah utama masih belum selesai.. Ibu masih bertanya sama ada aku hendak berpindah ataupun tidak. Macam mana ni ya? Aku tidak sanggup hampakan hati ibu lagi.

"Ya, ibu.. Fad sedang fikir lagi ni.. Ibu pun istikharah untuk Fad juga ya.."

Kolej Islam Sultan Alam Shah. KISAS. Sekolah hebat tu.. Memang idaman aku sewaktu gila-gila isi borang permohonan lepas PMR. Entah kenapa hati tiada rasa apa-apa apabila aku dapat pergi ke sekolah tersebut. Ya, aku DAPAT tawaran ke sekolah tersebut. Abang Hilmi, sepupuku yang tua setahun daripadaku yang bersekolah di SMKA Sheikh Abdul Malek sudah bising;

"Kau dapat tawaran KISAS dan kau masih hendak FIKIR?! Fad, kau hendak kena cekik dengan aku ke apa? Aku dulu hampir menangis sebab tak dapat tawaran ke KISAS, kau boleh senang-senang aja kata nak FIKIR dulu?"

Berdesing jugalah telinga aku dek hentaman Abang Hilmi si penasihat tak bertauliah. Ustaz Syawal aja yang cool nasihatkan aku supaya pilih yang terbaik. Ataupun ahli keluargaku yang lain panggil Abang Awal aja.. sebab Ustaz Syawal ni adik kepada abang ipar aku.

"Istikharahlah dulu.. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat Fad. Seelok-eloknya lakukannya kerap. Kadang-kadang walaupun hal ini nampak remeh, sebenarnya pilihan itu tetap penting. Untuk kebaikan Fad juga."

Kawan-kawan aku pula..

"Kalau kau berani tinggalkan kitorang, kau memang nak mati!" - Muhaimin.
"Aku cari kau dekat Klang sana tu, bawa balik sini.. Cubalah pindah ke sana kalau berani.." - Faqihuddin.
"Kalau aku dengar perkataan 'pindah' dari mulut kau lagi.. siap la kau." - Abqary.
"Kau blah, maknanya kau memang bukan daripada kitorang." - Shaffuan dan Khairuddin..

Memang patut pun mereka marahkan aku. Kami sudah buat perjanjian yang akan sehidup semati di bumi SMK Taman Budiman ini sehingga tingkatan lima. Perjanjian yang tersemat di dalam enam hati. Dan sekarang, aku yang makan janji. Malas betul aku hendak fikir semua ni.

Seperkara lagi yang tambah-tambah mengusutkan kepala aku, seorang budak perempuan yang punyalah cun-melecun minta couple dengan aku. Tidak percaya? Aku lagilah tidak percaya! Cantik, tapi sayang free hair di luar sekolah. Wajahnya ada iras-iras pelakon Indonesia, Rianti Cartwright. Cuma matanya sedikit sepet dan berwarna hitam pekat. Aku ni kacaklah juga.. Bukannya hendak puji diri sendiri tapi memang ramai yangadmirer aku.. Cuma aku yang tak layan. Aku yang nampak macam nerd ni pun ada yang berkenan. Yalah, kawan-kawan aku semuanya gelarkan aku psycho books sebab selalu berdampingan dengan buku dan memakai cermin mata.

Gadis manis itu namanya Puteri Nashwa binti Megat Nordin. Memang wajahnya seperti 'puteri'. Mungkinkah sebab gadis ini yang salah satu perkara yang menyebabkan aku berat untuk meninggalkan sekolah ini selain faktor kawan-kawan? Mungkinkah?



[bersambung...]

Saturday, July 3, 2010

Ukhuwah Cinta [2]

UKHUWAH CINTA [special 2]

[Edisi Belum Edit]

"Ainil.."

"Shut up!"


"Dengarlah dulu.. please.." Aku mempercepatkan langkah untuk menyainginya. Gadis itu bergerak terlalu pantas daripada kebiasaannya.

"Tolong jangan ikut saya. Nanti apa orang kata?" tegasnya tanpa memandang wajahku.

"Selagi Ainil tak nak dengar apa yang saya hendak cakap, selagi tu saya akan terus ikut Ainil." Tekadku. Aku tidak ingin salah faham ini berpanjangan. Aku tidak ingin kepercayaannya hilang kepadaku.. sekali lagi. Aku terus mengekorinya. Kami sudah melepasi koridor blok Ibn Khaldun lalu melalui dataran sekolah yang luas.

"Qin..!" Kedengaran suara nyaring seseorang menjerit. Aku mahupun dia langsung tidak berpaling ke arah suara tersebut.

"Qin..! Ainil Yaqin… Ainil Yaqin binti Yasir..! Tunggulah.." jerit seorang gadis dari seberang koridor kanan mereka, yang berdekatan dengan dataran sekolah. Gadis yang kuekori itu menoleh kepada empunya diri yang memanggil namanya. Lalu dia berhenti. Secara automatik aku juga turut berhenti di sedepa di sampingnya.

"Syitah.." tutur Ainil Yaqin halus. Gadis yang memanggil namanya itu, Nasyitah, mendekati kami. Nasyitah menjungkitkan alis kiri sambil memandang Ainil Yaqin dan aku silih berganti.

"Apa yang Qin buat dengan dia tu kat sini? Sampai kena jerit panggil nama penuh baru berpaling?" soal Nasyitah ala-ala seorang ibu bimbangkan anaknya. Sudahlah nada yang Nasyitah sebut 'dia' tu tadi lain macam sangat. Macam aku ni penjenayah yang mengejar mangsa. Ainil Yaqin memandangku sekilas. Aku buat-buat muka sedih untuk mohon simpati. Lagipun, Nasyitah memang kacau daun betul.. kalau aku tidak sempat hendak terangkan kepada dia hari ini.. bila lagi? Punyalah susah aku hendak bercakap dengan si Ainil ni. Datang peluang macam hari ini pula, ada orang kacau daun pula.

"Fathir, maaflah. Saya ada kerja. Tak ada masa nak dengar cerita awak." Keras nadanya, menusuk hatiku yang paling dalam. Ainil Yaqin menyambar tangan Nasyitah lalu menariknya pergi tergesa-gesa. Nasyitah yang masih belum mengerti apa yang berlaku terpinga-pinga.

"Tunggu.. Qin, apa ni? Aku tanya ni.." bebel Nasyitah. Aku hanya tercegat di tengah dataran sekolah. Melihat gadis itu pergi.. pergi.. Persekitaran sekolah lengang kerana telah sejam berlalu setelah tamatnya waktu persekolahan. Aku masih termangu di situ.. lalu lambat-lambat aku bergerak. Meninggalkan dataran sekolah.. menuju ke tempat meletak basikal. Aku ternampak kelibat seseorang yang menunggu di situ. Dan aku tahu siapa.

"Nampak tadi dari sini.. Macam mana?" soal jejaka itu. Aku hanya menggeleng seraya mengeluh hampa. Dia ketawa.

"I told you.."




[bersambung…]

Ukhuwah Cinta [1]

UKHUWAH CINTA [special short 1]

[Edisi Belum Edit]

Aku masih dalam keadaan serabut. Hendak terima tawaran sekolah berasrama penuh itukah, ataupun terus kekal di sini? Kenangan suka duka yang dilakar sejak tingkatan satu.. SMK Taman Budiman! Umi beria-ia benar mahu aku terima tawaran sekolah berasrama penuh tu.. Tapi aku masih ragu-ragu. Kenapa ya? Padahal aku yang dulunya bersemangat mengisi pelbagai borang kemasukan sekolah ke tingkatan empat.

Mungkinkah sebab aku sayangkan kawan-kawanku di sini? Mungkin ya.. Atau mungkinkah sebab aku saja-saja menggatal hendak tunjuk eksyen lebih kepada kawan-kawan yang aku dapat banyak tawaran tapi aku berlagak sombong tidak mahu pergi? Oh, aku tidak rasa macam tu..! Jadi, apa yang menyebabkan aku terasa berat begini? Padahal jarang sekali aku tidak mendengar cakap umi.

"Fad, umi bukan tak suka Fad sekolah dekat sekolah biasa tu.. Tapi takkan Fad nak tolak tuah sekali lagi.. Dulu result cemerlang UPSR, tapi Fad cuma hendak ke sekolah biasa tu aja.. sekarang takkan tak mahu beralih angin?"

Ya, sewaktu aku darjah enam dulu memang aku jenis tidak tahu apa-apa tentang sekolah-sekolah ini semua. Aku hanya ikut kawan-kawan aja. Bagiku, semua sekolah sama saja.

Hrmss.. kenapa ya?