Pengumuman~!

Selamat datang ke Ceritera Minda Kayangan! Sebenarnya blog ini masih dalam pengubahsuaian.. Sebab blog yang asal sebenarnya di sini; Berikanku Cahaya. Jadi, 'perpindahan' ke sini memerlukan saya menyesuaikan diri di blog baharu.

Saturday, November 22, 2008

THE PAST [6]

APA SEBENARNYA


[Edisi Belum Edit]


Selepas pulang dari kantin sekolah, ramai pelajar lelaki berkerumun di papan kenyataan kelas sebaik sahaja Ainil Yaqin, Nadiah, Darunee dan Nasyitah masuk ke dalam kelas. Ainil Yaqin dan Nadiah berpandangan untuk seketika sambil tersenyum. Kertas A4 berlatarkan gambar bumi itu menyatakan tentang sudah tertubuhnya Kelab Khairul Insan ditampal oleh Faiz, (ketua kelas kami) waktu rehat tadi. Notis itu membuka peluang kepada semua pelajar untuk menyertainya. Pelbagai aktiviti akan dijalankan seperti tazkirah, usrah, halaqah, tamrim, lawatan sambil belajar, melawat tempat-tempat tertentu dan aktiviti-aktiviti memotivasikan diri.


Moga ramai yang berminat untuk memasuki kelab ini. Kita ini hidup dalam berjemaah. Jemaah tidak memerlukan kita sebaliknya kitalah yang memerlukan jemaah. Orang yang hidupnya tiada jemaah seolah-olah seekor biri-biri yang terlepas daripada kawanan biri-biri yang lain. Setelah pelajar lelaki tidak lagi berkerumun di hadapan papan kenyataan, pelajar perempuan pula yang menyerbu. Nasyitah mempamerkan wajah aneh yang jarang dibuatnya.


"Apa tu? Kelab Khairul Insan ke?" soalnya datar dari tempat duduknya yang berada tepat di belakangku. Ainil Yaqin memusingkan badannya dari tempat duduk, menghadap Nasyitah.


"Ya. Berminat nak masuk?"


"Orang macam saya ni tak layak nak masuk kelab yang orangnya alim-alim gitu. Tak se'fikrah' la katakan." Ujarnya sambil mengukir senyuman.


"Mana ada macam tu. Kita semua ni sama je. Cuma amal sahaja yang membezakan kita. Lagipun apa salahnya jika ingin mencedok dengan lebih dalam tentang ilmu agama? Semua orang pentingkan akademik. Apabila datang bab untuk agama, semua lari. Kenapa?" Nah, nampaknya Nadiah sedang menjalankan operasi 'menembak' sasaran. Sasaran dakwah, mungkin.


Nasyitah mulai menongkat dagu dengan tangan kanan di meja sambil memandang Nadiah di tepinya. Nasyitah kemudiannya menjungkitkan bahu. Ainil Yaqin mengangkat alis kiri dan mengerling sesaat kepada Darunee di sebelah. Kasihan dia. Jika datang bab ini pasti dia akan mendiamkan diri. Ainil Yaqin pernah bertanya kepadanya adakah dia terasa diabaikan ketika mereka berbincang soal agama mereka? Dan dia menjawab;


"It's okay. I do like to listen it."


Darunee memang memahami. Nasyitah kemudiannya menghembuskan nafasnya dengan berat. Dia memandang Ainil Yaqin sekilas. Kemudian menunduk menekur meja.


"Saya memang nak sertai.. Cuma saya ragu-ragu.." ayatnya mati di situ dengan keluhan. Nadiah menarik tangan kirinya dan menggenggamnya.


"Kami akan bantu awak, percayalah." Nadiah memberi Nasyitah kata-kata semangat.


"Tanyalah kami dan kakak-kakak naqibah nanti jika ada sesuatu yang awak nak tahu atau tak faham. Boleh kan?" Ainil Yaqin menyampuk.


"Senyumlah sikit. Jangan nanti Nadiah kena nyanyi lagu 'Percayalah' pulak.. Mau hujan sekali puting beliung nanti kan haru.." guraunya. Meledak ketawa mereka.



** ** **



Tibalah waktu kelas Bahasa Arab Komunikasi atau singkatannya BAK. Nadiah telah memberi amaran kepada pelajar-pelajar lain yang langsung tidak mengambil subjek ini untuk PMR untuk turut serta menyemak. Namun ada yang degil mengatakan hanya ingin belajar sekadar untuk menambah 'ilmu sampingan'. Bukan sahaja Nadiah, pelajar-pelajar tingkatan tiga yang lain pun turut serta melarang. Akhirnya alhamdulillah, hari ini tiada lagi wajah-wajah asing yang menghiasi Bilik Bahasa Arab.


Ustaz Syawal mengedarkan lima keping kertas kepada mereka yang telah dikacip dengan pengacip kertas. Ainil Yaqin langsung tidak memandang wajah Ustaz Syawal selain menghantar jelingan dingin. Dia mula mengfokuskan diri kepada helaian kertas yang telah tiba di meja. Pada mukasurat pertama terdapat gambar rajah yang berlatarkan sebuah rumah. Lukisannya kaku atau secara jujurnya boleh dikatakan teruk.


Terdapat seorang lelaki yang mungkin berstatus 'ayah' yang duduk di atas sofa sambil membaca surat khabar. Di lantai yang beralaskan permaidani pula terdapat seorang kanak-kanak lelaki yang sedang bermain dengan helikopter mainan. Di atas lantai itu juga terdapat beberapa orang kanak-kanak lain yang sedang menonton televisyen. Di kiri sudut gambar itu pula terdapat sebuah kerusi malas yang diduduki oleh seorang perempuan yang mungkin berstatus 'ibu' sedang menjahit baju dengan tangannya. Di bawah dan tepinya pula terdapat seekor kucing sedang bermain dengan benang.


Inilah format PMR tahun ini. Diberikan sebuah gambar rajah dan meminta mereka untuk membuat ayat berdasarkan gambar tersebut. Dia menyelak halaman-halaman lain pula. Seperti biasa terdapat 5 ayat yang dikehendaki menterjemahkannya ke bahasa arab dan 5 ayat lagi yang perlu diterjemahkan ke dalam bahasa melayu tulisan jawi. Juga terdapat hiwar atau perbualan yang perlu diisi tempat kosong. Satu lagi; terdapat suatu teks dalam bahasa arab yang memaksa mereka untuk menjawab soalan yang ditanya berdasarkan teks tersebut. Yang terakhir, terdapat gambar rajah iklan atau poster yang harus membina ayat berdasarkan point yang telah diberi pada gambar rajah tersebut.


Format tahun ini lebih senang jika dibandingkan dengan format PMR tahun hadapan yang akan dihadapi oleh pelajar-pelajar selepas kami. Mereka akan 'didera' menjawab semua soalan dalam bahasa arab. Berbeza dengan mereka yang diharuskan menjawab dalam bahasa melayu tulisan jawi kecuali jika terjemahan ke dalam bahasa arab dan juga membina ayat.


"Buat semua arahan yang terdapat di dalam kertas yang saya edar tadi sekarang. Lusa kita bincang sama-sama." Arah Ustaz Syawal dengan nada biasanya. Ainil Yaqin menggoyang dan memusingkan pen biru berjenama g'soft sambil menjawab soalan yang bagiku lebih senang iaitu ayat penterjemahan.


"Bila abang Awal nak bagitau Kak Ifa yang abang Awal dah balik?"

"Perlu ke bagi tau dengan dia?"

"Aik? Ooo.. Perang dingin ke?"

"Tak ada ribut taufan pun buat apa nak perang dingin? Yaqin ni nak kena.."

"Habis tu? Atau dah ada buah hati baru, lepas tu nak buang buah hati yang lama ni?"

"Abang Awal tak pernah ada buah hati lama atau baru! Pandai buat cerita ek? Bila masa Abang Awal ada apa-apa dengan Kak Ifa kamu ni?"

"Ahah.. Dah la buat orang tertunggu-tunggu, lepas tu buat macam tak de apa yang berlaku pulak?"

"Hey, Yaqin! Tunggu dulu."


"Hey, Qin! Mengelamun ni apa hal?" tangan Nadiah mencuit rusuk kanannya. Pantas Ainil Yaqin kembali ke alam realiti. Dia memandang kosong ke arah Nadiah. Lantas menggeleng dan menghadiahkan senyuman. Mata tertancap kembali kepada kertas di tangan dan mulai menjawab. Dia tidak ingin imbauan tadi menggamit lagi. Menyakitkan hati! Oh, Kak Ifa! Apa yang terjadi dengan kalian sebenarnya? Alamatnya lambat lagilah angan-angannya untuk memperoleh anak saudara dalam masa yang terdekat ini. Amboi, Ainil Yaqin! Jauh benar kau berangan ya? Aduhai..


Akhirnya satu jam setengah telah berlalu. Lebih daripada separuh kertas tersebut telah dijawab sambil membelek-belek kamus bahasa arab dan berpusing kiri, kanan, depan dan belakang untuk bertanya kepada rakan-rakan yang lain. Dia meniliti jam dinding di hadapan Bilik Bahasa Arab ini. Tepat pukul 3.30 petang. Kelas sudah tamat. Akhirnya..


"Syukran jazilan ya ustaz," ketua tingkatan bagi Bilik Bahasa Arab bagi murid tingkatan tiga, Fahmi bersuara lantang apabila semua pelajar berdiri. Lalu ungkapan yang sama bergema di dalam Bilik Bahasa Arab tersebut. Ustaz Syawal mengangguk. Ainil Yaqin memasukkan kertas tadi ke dalam fail dan memasukkannya ke dalam beg yang berwarna putih jernih. Kotak pensil dicapai dan dimasukkan ke tempat yang sama. Beg digalas cermat. Rakan-rakan yang lain hampir semua telah keluar. Abqary dan Faqi berada di meja guru di hadapan sedang menanyakan sesuatu kepada Ustaz Syawal. Fathir yang berada di barisan hadapan di tepi kiri berdekatan dengan pintu masuk masih tekun menjawab kertas. Peristiwa Nasyitah melagakan dirinya dengan Fathir mulai menggamit. Dirasakan mukanya panas seketika. Ah, persetankan semua itu!


"Jom gerak," ajak Nadiah.


"Okey."


Dia membuntuti Nadiah dari belakang. Tidak ingin memandang wajah Ustaz Syawal mahupun si Psiko di pintu depan! Mereka berdua menuruni tangga. Bunyi kaki mencecah tangga membunuh kesunyian di kawasan blok pejabat ini. Sebaik sahaja kakinya mencecah anak tangga yang terakhir..


"YAQIN!! Kat sini kau rupanya, penat aku cari." Fifah-N menjerkah dengan nafas turun naik. Ainil Yaqin terkejut, lantas beristighfar perlahan secara tidak sedar. Berkerut wajah Nadiah yang berada di sampingnya.


"Sorry ya Cik Nadiah, boleh aku pinjam kawan kau sekejap? Aku nak bincang sesuatu dengan dia ni." Pinta Fifah-N dengan wajah sepuluh sen yang dibuat-buat. Tidak ubah seperti orang dewasa yang keterlaluan ingin dimanjakan. Nadiah tersenyum manis, mengangguk kemudiannya berlalu pergi meninggalkan mereka berdua di hujung anak tangga tersebut. Kelibat Nadiah menghilang sebaik sahaja dia membelok ke kiri di koridor hadapan mereka. Setelah pasti Nadiah telah menghilang, Ainil Yaqin menyoal.


"Penting sangat ke?"


"Kalau tak penting jangan harap aku nak cari kau bagai nak rak tadi." Jawabnya sinis sambil menjeling memandang wajah Ainil Yaqin yang tidak diketahui apakah bentuk imej yang terpampang kini.


"Okey, tapi lepaskan tangan saya. Saya tak lari punya." Pintanya sambil meronta sedikit pergelangan tangan kananku yang dicengkam kuat oleh Fifah-N. Pantas dengan itu dileraikannya.


"Ops, maaf." Mohonnya sambil tersengih. Nabilah memandang dengan matanya yang sepet dan berbulu mata lebat tetapi memancak tegak, lurus. Ainil Yaqin mengangkat kening.


"Aku tak faham dalam banyak-banyak pelajar perempuan dalam sekolah ni, dia tersangkut dekat kau." Fifah-N bersuara. Aneh. Sambungnya lagi;


"Surat ni.." Nabilah mengeluarkan satu sampul berwarna merah lembut besar sedikit daripada tapak tangan kepada Ainil Yaqin.


"..daripada Wahid. Dia ingin hulurkan salam perkenalan pada kau dan.." ayat yang keluar daripada mulut Nabilah yang selepasnya tidak masuk ke dalam kepalanya lagi. Kalau boleh dia tidak ingin mendengarnya. Ainil Yaqin melopong.




[bersambung...]