Pengumuman~!

Selamat datang ke Ceritera Minda Kayangan! Sebenarnya blog ini masih dalam pengubahsuaian.. Sebab blog yang asal sebenarnya di sini; Berikanku Cahaya. Jadi, 'perpindahan' ke sini memerlukan saya menyesuaikan diri di blog baharu.

Monday, December 15, 2008

Alamanda Untukmu [2]


ALAMANDA UNTUKMU [2]

[Edisi Belum Edit oleh Anaqi]



Mariah mulai berasa runsing. Buku lukisannya telah hilang. Dia terlupa di mana kali terakhir dia meletakkan buku lukisan yang berwarna merah lembut tersebut. Seluruh kamarnya telah digeledah, dipunggah, dibelek, namun sedihnya masih belum dijumpai. Dia hampir putus asa dan hampir menangis.

''Mar ada salah letak di mana-manalah tu. Nanti jumpalah, biasanya macam tulah kan?'' kata-kata Abang Mus langsung tidak dapat melenyapkan kesedihan hatinya. Dia telah bertanya kepada seluruh penghuni teratak rumah itu, sama ada mereka terlihat akan buku berwarna merah lembut yang tertulis 'ALAMANDA' di kulit hadapannya. Namun semuanya menggeleng atau menjungkit bahu. Ketiga-tiga adiknya juga kelihatan tergeleng-geleng kepala menafikan mereka ada terjumpa buku lukisannya. Amran yang paling bongsu, berumur empat tahun kelihatan takut-takut apabila Mariah menyoalnya dengan serius. Masyitah, adiknya yang berumur tujuh tahun itu yang sangat suka menyuruh umi mengikat rambutnya bertocang dua pula siap menjerit mengatakan dia tidak pernah terjumpa atau mengambilnya.


''Sein pun tak ambil dan tak terjumpa pun kat mana-mana,'' Hussein, adiknya yang berumur 12 tahun menafikan dengan keras sebelum sempat Mariah bertanya kepadanya. Sekarang, fikirannnya sudah buntu. Dia amat sayangkan buku lukisan yang diberi nama Alamanda itu. Ia merupakan hadiah hari lahirnya yang kelima belas yang dihadiahkan oleh Kak Da, satu-satunya kakaknya. Kak Da telah pun berumah tangga dua bulan yang lalu, tinggal bersama suaminya di sebuah apartmen di negeri suaminya itu.


Di sekolah, dia kelihatan sugul. Rakannya, Amirah telah sedia maklum apa yang menyebabkan rakannya itu bermuram durja. Amirah, gadis rendah dan kecil molek, berkaca mata dan berkulit sawo matang. Amirah cuba membuka topik supaya dapat menghilangkan sebentar kegusaran Mariah. Mereka ketika itu sedang berjalan kaki pulang ke rumah selepas tamatnya sesi persekolahan.

''Oh ya, kau tahu tak.. Aku ternampak si senior kita yang terlebih famousnak mampus tu tersenyum seorang diri di belakang blok form 5. First time aku nampak dia senyum, boleh tahan jugak,'' ujar Amirah sambil tersengih seorang diri.


''Senior mana pulak ni? Headboy ke?'' soal Mariah malas, tidak berminat.


''Hish..kau ni. Kalau dah terlebih famous siapa lagi kalau bukan si Yusuf tu, yang selalu buat onar kat sekolah ni,'' terang Amirah sambil memandang tidak percaya kepadanya. Spontan otak Mariah mencerna apa yang diberitahu oleh Amirah. Mata Mariah kemudiannya membulat, bersinar harapan.


''Alamandaku! Aku dah ingat kali terakhir aku letak kat mana! Thanks Ami, aku sayang kau.. Esok aku belanja kau makan, kau minta saja apa yang kau nak. Mari jalan cepat, aku ada tempat nak pergi nanti.'' Ujar Mariah bersemangat. Amirah terkebil-kebil mekihat rakannya yang telah sembuh daripada kesedihannya sebentar tadi. Seolah-olah telah diberikan ciuman oleh prince charming?


''Mar…apa..''


''Esok aku terangkan. Mari temankan aku ke taman mini di kawasan perumahan kita sekejap.'' Mariah menarik lengan Amirah supaya Amirah mengikutinya.


''Nak buat apa?''


''Ikut sajalah!''


Amirah kemudiannya menurut tanpa banyak soal padahal ketika itu dia merasakan ingin mengasak Mariah dengan bertubi-tubi soalan. Mereka tiba di taman mini di mana terdapat sebuah tasik kecil di tengahnya dan terdapat beberapa pohon yang rendang di sekelilingnya. Terdapat sebuah jambatan melengkung di tasik itu membolehkan pelawat menikmati panorama di taman mini itu. Bangku juga tersedia di taman permainan untuk kanak-kanak tidak jauh dari tasik itu.


''Kau datang sini nak ajak aku main gelongsor? Atau buaian? Atau jongkang-jongkit?'' sindir Amirah. Mariah tidak mendengar dan terus menuju ke pohon rendang yang dia berehat di situ pada hari pertemuan yang tidak disangka dengan senior Yusuf. Amirah mengikutinya dari belakang. Mariah berpusing mengitari pohon itu sebanyak tiga kali dan apabila dia masih melalut mencari-cari untuk kali keempat, Amirah mencelah;


''Kau buat lawak tak jadi apa ni? Tolonglah jangan buat macam orang tak betul macam tu,''


''Aku tengah cari Alamanda! Baru aku teringat, aku tertinggal buku lukisan tu kat sini bila kau buka cerita pasal Yusuf. Tapi mana ni, tak ada pun..'' Mariah kelihatan hampa. Amirah mengerutkan dahi.


''Apa kena mengena Yusuf dalam hal ni pulak? Watak utama sebagai hero penyelamat?''


''Ami!!''


''Yelah, yelah.. Boleh tak kau cerita satu persatu apa yang dah jadi sebenarnya supaya aku tak buat andaian aku sendiri?'' pinta Amirah penuh berharap. Lalu mereka duduk di bawah pohon tersebut, melepaskan beg mereka lalu diletakkan di sisi sambil Mariah menceritakan seluruh kisah yang ingin diketahui oleh Amirah dari awal hingga akhir.


''Haha.. Boleh je kau blah camtu? Kalau aku, dah lama aku hambur balik pada dia. Apa dia ingat tempat ini nenek moyang dia yang punya ke?'' komen Amirah sambil tersenyum lucu.


''Apa kes nenek moyang ni cik adik?'' suatu suara garau gemersik menyampuk entah dari mana. Mariah dan Amirah terkedu, diam sejenak. Lalu Mariah memandang ke kirinya. Beberapa tapak dari tempat mereka berteduh, berdiri seorang jejaka yang tinggi lampai, berkulit sawo matang dan bermata kecil tetapi tajam menikam sedang mengangkat alis kanannya apabila Mariah memandangnya. Di tangan jejaka itu terdapat sebuah buku berwarna merah cerah. Mariah serta-merta berdiri, begitu juga dengan Amirah.


''Assalamualaikum, maaf kerana mengganggu. Ini buku lukisan awak ke..?'' soal Yusuf sambil menghulurkan buku berwarna merah cerah tersebut. Anehnya, dia kelihatan ramah sahaja hari ini. Siap memberi salam lagi, tidak seperti pertemuan pertama dahulu. Jarak kedudukan mereka sama seperti tadi kerana Yusuf langsung tidak melangkah mara ke depan tetapi masih berdiri di tempatnya tadi. Amirah di sebelahnya termengkelan tetapi mereka berdua serentak menjawab salam jejaka tersebut. Yusuf juga ketika itu mungkin baru pulang dari sekolah kerana dia masih memakai pakaian seragam sekolah. Memang selekeh sekali dia ini.


''Ya, memang buku saya.'' Jawab Mariah apabila mengambil buku lukisannya itu dan membelek isi di dalamnya. Mariah memandang curiga ke arah Yusuf.


''Maaf, saya telah membelek bahagian isinya di dalam. Awak tertinggal buku ni pada hari tu..'' ayat Yusuf mati di situ dan dia menundukkan wajahnya. Mariah dapat merasakan yang Yusuf mungkin berasa bersalah akan pertemuan mereka yang dingin dan kedinginan itu diwujudkan oleh Yusuf sendiri.


''Maaf pasal hari tu..''


''Takpe, saya faham. Terima kasih sebab memulangkan buku ni. Kami pergi dulu,'' Mariah pantas memotong sebelum Yusuf sempat menghabiskan kata-katanya. Mariah menggalas beg sekolahnya dan mengambil beg sekolah Amirah lalu menarik lengan Amirah dan berniat ingin meninggalkan tempat ini secepat mungkin.


''Tunggu dulu!''


Belum sempat Mariah melangsungkan niatnya, Yusuf memintanya tunggu. Amirah senyum bermakna pada Mariah.


''Boleh kita berkenalan?'' pinta Yusuf dengan suara garau gemersiknya itu. Wajahnya tampak bersahaja, sukar ingin menebak tujuan sebenarnya. Mariah terkedu.


''Boleh, apa salahnya. Saya Amirah binti Osman. Ini kawan saya, Mariah binti Ilyasa. Kami sekelas di Tingkatan 4 Meranti dan juga satu kampung di kawasan perumahan ni. Salam perkenalan,'' Amirah dengan seenaknya menyambut permintaan Yusuf. Mariah merasakan wajahnya hangat disimbahi darah merah di dalam badannya yang menyerbu ke muka.


''Nama saya Ahmad Yusuf bin Farid. Tingkatan 5 Cengal dan juga tinggal di kawasan perumahan ni. Salam perkenalan juga. Awak berdua tinggal di rumah nombor berapa?'' soal Yusuf mesra sahaja, dan watak 'mesra' dan 'ramah' langsung tidak terlintas di fikiran Mariah yang ada pada Yusuf kerana khabar-khabar angin mengatakan Yusuf ini pendiam dan perengus. Jadi siapakah yang berada di hadapannya hari ini? Jembalang Yusuf?


''Maaf, kami terpaksa pergi sekarang. Assalamualaikum,'' pintas Mariah sebelum Amirah sempat menjawab soalan Yusuf. Lengan Amirah ditarik mengikutinya dan mereka berlalu meninggalkan Yusuf yang ketika itu sedang tersenyum simpul.



[bersambung…]