Pengumuman~!

Selamat datang ke Ceritera Minda Kayangan! Sebenarnya blog ini masih dalam pengubahsuaian.. Sebab blog yang asal sebenarnya di sini; Berikanku Cahaya. Jadi, 'perpindahan' ke sini memerlukan saya menyesuaikan diri di blog baharu.

Sunday, October 17, 2010

Ukhuwah Cinta [6]

UKHUWAH CINTA (special 6)

[Edisi Belum Edit]

“Tak imbang!!”

Huh, sesiapa yang berkawan dengan budak yang ambil subjek Prinsip Perakaunan mungkin sudah biasa dengan dua patah perkataan tersebut. Entahlah apa yang tidak imbang itu, dia tidak pasti. Dia bukannya ambil pun subjek tu. Tapi kadang-kadang nampak Nadiah membuat kerja sekolah PP menyebabkan mulutnya bertanya setiap apa yang Nadiah sedang buat sehinggakan membuatkan gadis itu tidak jadi pula menyiapkan kerja sekolah. Yalah, tiba-tiba sahaja menjadi guru tidak bertauliah, mengajarnya- si Ainil Yaqin yang mengambil aliran Sains Tulen.

“Tiap kali exam mesti tak cukup masa hendak jawab paper. Patutnya cikgu patut buat analisis lebih terperinci sebab memang masa yang diberikan memang tak cukuplah.” Bebel Nadiah lagi di wakaf menunggu pelajar perempuan di sekolah. Ainil Yaqin diam, pandangannya dilontarkan ke arah jalan raya di luar pagar sekolah. Darunee hanya sengih manakala Nasyitah mengangkat alis kirinya.

“Bila kau sudah jadi Menteri Pelajaran nanti, kau guballah sendiri.” Ejek Nasyitah. Serentak mereka bertiga ketawa kecuali Ainil Yaqin. Dia kelihatannya tenggelam dalam emosinya sendiri. Nasyitah memandang Darunee dan Nadiah sebelum mengisyaratkan matanya kepada Ainil Yaqin. Darunee menggeleng kepala.

“Apa kena dengan kawan kita ni?” Darunee sudah meraut lakaran aneh pada wajahnya.

“Simptom orang kena risik,” bisik Nadiah perlahan. Nasyitah sudah melopong. Kerutan di dahi Darunee kian bertambah.

“Nad, kau memang nak suruh aku beritahu Abang Amin yang kau admire dia ya?” tiba-tiba sahaja Ainil Yaqin berpaling mengugut sambil memandang tajam ke arahnya.

“Uit, fitnahlah Qin!” Tangannya sudah menampar peha rakannya itu. Ainil Yaqin sengih. “Aku risaulah, tahun depan sudah tingkatan 5. Exam akhir tahun ni dah nak habis pun.. Lemah betul asyik menghadap buku hari-hari,” keluh Ainil Yaqin. Si Nadiah ini pun satu. Sejak bila entah dia sudah pandai menyakat orang tiba-tiba. Biasanya bab sakat-menyakat ni dipelopori oleh Nasyitah yang sentiasa happy tidak bertempat tu.

“Relakslah. Lepas habis aja exam, kita keluar sama-sama raikan okey? Nini dah tak sabar-sabar hendak belanja tu.” Nasyitah mengangkat alis kiri kepada Darunee. Gadis cina itu tersengih.

“Aku belanja, kau bayar.”

** ** ** **

Ah, tak sabar-sabar rasanya hendak balik ke rumah! Rindunya pada tanah negeri tercinta.. Aduhai, dia juga akan merindui bumi wakaf KISAS ini buat tempoh sebulan setengah.. Cuti sekolah, selamat datang! Fathir sudah menongkat siku ke tingkap bas. Setengah jam lagi, insya-Allah sampailah. Pandangan matanya dilontarkan keluar tingkap. Fikirannya menerawang jauh.

“Fad, jadi pak ustazlah bila kau balik dari sana nanti. Nanti, dengan kita orang pun kau dah tak kenal dah.. Ber- ‘ana’ ‘enta’ kita nanti.” Tawa berhamburan sana sini di pantai tersebut apabila Faiz membuka bicara. Budak-budak inilah.. mati-mati ingin juga buat jamuan ringkas sempena dia hendak berpindah sekolah. Eh, silap. Bukan dia seorang yang hendak berpindah, si Shaffuan tu pun hendak pindah ke MRSM, Hisyam ke SBP dan Faiz dapat MCKK.

“Yalah.. Padan sangatlah dengan si Yaqin tu.. Terkejut monyet dia nanti bila kau dah jadi pak ustaz!” tambah Khairuddin. Fathir tersengih. Kawan-kawannya ini memanglah.. Jamuan pada hari tersebut semuanya disponsored oleh emak Hisyam yang masakkan nasi goreng kampung berserta ayam goreng. Kek batik pula Azrai yang buatkan, sah-sah memang dia digelakkan oleh semua di situ. Tidak sangka pula Azrai pandai buat kek batik. Katanya kek batik memang kegilaannya, sehinggakan dia sanggup berguru dengan ibunya. Minuman pula dibeli secara self service di gerai-gerai di tepi jalan berdekatan dengan pantai.

Ya, dia begitu rindu akan rakan-rakannya di SMK Taman Budiman. Cepatlah, masa berlalu.. cepatlah bas bergerak.. Dia sudah rindu ingin berjumpa dengan ibu.. rakan-rakan.. Ingin ucap terima kasih sangat dengan ibu, kerana telah berkeras memaksanya berpindah ke sini; bumi wakaf yang mulia! Bumi wakaf yang telah melahirkan dirinya yang baru; dirinya yang lebih baik.. Insya-Allah. Barulah dia mengerti mengapa ibu sedari dahulu lagi ingin dia bersekolah di sekolah agama. Alhamdulillah.

[bersambung..]

Pesanan;

rasa-rasa macam hendak hentikan entri Ukhuwah Cinta.. Untuk sebulan ini, maaflah.. saya mungkin sedikit sibuk.. dan mungkin tidak akan menghantar entri dalam jangka masa yang pendek ini.

Salam,

ANAQI

Friday, October 1, 2010

Ukhuwah Cinta [5]

UKHUWAH CINTA (special 5)


[Edisi Belum Edit]


Arghhh.. Tak nak raya!! Jerit hati Nadiah, geram. Manalah tidaknya, kerja sekolah yang diberi seolah-olah mereka diberikan cuti dua bulan, bukannya dua minggu! Meja belajarnya sudah serabut dengan kertas-kertas kerja sekolah cuti terancang, buku teks dan buku rujukan. Iyalah, hendak buat kerja sekolah Fizik, nota Sejarah belum siap lagi. Hendak buat nota Sejarah, latihan add math belum buat lagi. Hendak buat latihan add math, teringatkan latihan Kimia yang tertangguh.. Aduhai, pening…pening..


Resam orang belajar agaknya memang macam ni.. Nadiah menggeleng kepala. Kakinya melangkah menuju ke katil ingin membaringkan badan. Matanya tertancap kepada jam loceng hijau berbentuk daun di atas meja rias berdekatan katilnya. Sudah pukul dua petang. Melihatkan jam loceng itu, dia teringatkan Ainil Yaqin, sahabatnya. Jam loceng itu dihadiahkan oleh Ainil Yaqin, sewaktu ulang tahunnya yang ke-13, beberapa tahun yang lalu. Semalam, sahabatnya itu telah menelefonnya.


“Selamat Hari Raya Aidilfitri..”


“Uit, berilah salam dulu kalau nak ucap selamat hari raya pun.” Sindir Nadiah. Suara di hujung talian sudah ketawa. Padahal lagi dua tiga hari hendak raya. Banyak perkara yang mereka bualkan. Hinggakanlah ke perkara kakaknya; Ainul Syifa’. Kakaknya yang seorang itu memang cantik amat. Persis gadis arab. Maklumlah, keluarga Ainil Yaqin ini memang ada darah campuran arab. Kakaknya itu matanya bulat bercelak, bebola matanya hitam arang. Kulitnya putih, tidak seperti Ainil Yaqin yang sedikit perang.


“Hah, kau biar betul? Habis tu, aku kena ucap tahniahlah ya?” teriak Nadiah, terkejut dengan berita baharu itu.


“Aduh, kenapa aku pulak kau ucap tahniah? Kak Ifa pun diam aja.. Aku pun malas hendak tanya lebih.”


“Bukan ke sebelum ni kau ada beritahu yang Ustaz Syawal tu ada something dengan Kak Ifa? Mungkin sebab tu kot Kak Ifa belum bagi jawapan.” Tekanya lagi. Iyalah, padan sangat kalau Ustaz Syawal bergandingan dengan Kak Ifa. Tapi kalau ceritanya sudah lain begini..


“Entah. Aku agak saja sebelum ni. Lepas Ustaz Syawal sudah balik Malaysiatahun lepas, aku tengok macam tiada apa-apa pun. Kak Ifa pun mengelak bila aku saja kenen-kenen dia dengan ustaz. Entah.”

Nadiah menggaru pelipisnya. Hish, kalau dia jadi Kak Ifa.. dia pun dalam dilema. Bertuahnya Kak Ifa, ada lelaki soleh hendakkan dia. Senyum.


“Qin, kalau aku jadi Kak Ifa, aku terima aja lelaki yang datang merisik tu.. Orang baik-baik tu, kenapa mesti tolak? Mungkin Kak Ifa sudah tak ada apa-apa pun dengan ustaz. Siapa tahu?” Suara di talian diam. Kemudian, kedengaran suara Ainil Yaqin menghela nafas berat.


“Entahlah, Nad.. Aku tak berani nak masuk campur. Lainlah kalau aku yang kena risik. ” Seloroh Ainil Yaqin. Nadiah sudah tergelak. Hish, ada hati nak kena risik ya?

“Qin, kut ya pun nak suruh ‘dia’ datang merisik, sabar-sabarlah dulu. Biarlah dia dah habis belajar kat KISAS dulu.. masa tu kau bersedialah!”

“Wan Nurul Nadiah!!” Tawa Nadiah semakin menjadi-jadi. Alamatnya si Ainil Yaqin tu sudah ‘berasap’ di talian sana. Kalau dia sudah menjerit panggil nama Nadiah dengan nama penuh tu, memang dia tengah marah sungguh-sungguhlah tu!

“Nad, jangan mulalah!” Marah Ainil Yaqin lagi di talian.

Peristiwa semalam terpadam begitu sahaja. Terukir senyum kecil di bibirnya. Qin.. Qin.. Masih lagi ‘fobia’ dengan budak yang sudah pindah sekolah tu. Nadiah kembali menyambung kerja sekolahnya yang tergendala. Hendak mulakan dengan yang mana ya? Lalu dia memutuskan untuk membuat latihan add maths yang wajib menyiapkan 30 soalan dahulu. Seram betul. Siapa kata tingkatan empat merupakan tahun honeymoon?

“Nadiah, tolong jaga dia.. untuk aku.”

“Kalau tak suruh pun memang aku buat pun.. dia kan kawan aku.”

“Dan jangan biarkan dia rapat dengan mana-mana lelaki pun.”

“Aku tak boleh jamin.. Wahid masih terkejar-kejar dekat dia.. Hati dia, mana aku boleh paksa.” Jejaka itu merenung tajam ke arahnya dan Darunee sekilas mendengarkan jawapan sinis itu.

“Aku pun nak nasihatkan kau, jangan menaruh harap dengan dia. Kau kan sudah ada si Nashwa..” Dia menamatkan perbualan singkat itu di situ.. lalu berlalu bersama Darunee, meninggalkan jejaka itu terkial-kial di dalam kelas yang kosong.

Nadiah menggeleng kepalanya. Kalau macam inilah gayanya, macam manalah dia hendak menyiapkan kerja sekolah jika asyik teringatkan imbasan peristiwa yang lalu? Tenang, Nadiah.. Tenang.. Pergi ambil wuduk kemudian sambung buat latihan. Nasihat hatinya. Dia bangun dari kerusi dan terus menuju ke kamar mandi.


** ** ** **


“Hari raya yang paling tak best.. Duit raya tak sampai RM 50 pun tahun ni..” keluh Abqary, memecahkan kesunyian di dalam kelas. Kesunyian yang disebabkan masing-masing terkejar-kejar menyiapkan kerja sekolah yang sepatutnya disiapkan sewaktu cuti sekolah.

“Hei, ingat raya ni sekadar kumpul duit raya ke?” Sindir si Faqihuddin, menjeling Abqary dari balik kertas lab report Kimia yang sedang ditirunya daripada kawannya itu.

“Ukur diri sendiri tu dulu.. Sudah besar gedabak, mana ada yang nak beri duit raya macam masa kecil-kecil dulu.. Sudah besar, masih minta duit raya. Malulah oii!” Suara Shaffuan tiba-tiba menyampuk kuat dari tempatnya berdekatan pintu masuk. Gamat sebentar kelas dengan gelak tawa pelajar lelaki.

Dia orang ni, memang tak berubah. Desis hati Ainil Yaqin. Dia pun sedang menyiapkan lab report Kimia kerana selepas ini merupakan masa Kimia. Wajah Cikgu Zunaini yang garang itu terbayang di hadapan matanya. Kertas si Eliza dijadikan panduan – kononnya!

Tahun ini, dia, Nadiah, Nasyitah dan Darunee Tan tidak sekelas lagi. Masing-masing mengambil aliran yang berbeza. Ainil Yaqin dan Darunee mengambil aliran Sains Tulen tetapi mereka menduduki kelas yang berbeza manakala Nadiah mengambil aliran Sains Perakaunan dan Nasyitah mengambil aliran Lukisan Kejuruteraan. Geng Dhurar telah terpecah; tapi tidak dari segi harfiah. Mereka masih tetap kerap berjumpa kerana satu blok tingkatan empat dan sering juga keluar rehat bersama.

Sekarang sebenarnya waktu Bahasa Melayu, tetapi Cikgu Laili nampaknya tidak nampak bayang sejak dari tadi. Ketua kelas mereka pula, si Azrai sengaja tidak mencari guru itu bahana dia pun terjebak sama dalam aktiviti copy and paste kerja sekolah. Dalam hatinya; moga-moga Cikgu Laili tidak masuk terus ke kelas. Kimia belum siap lagi seyh!

[bersambung..]