Pengumuman~!

Selamat datang ke Ceritera Minda Kayangan! Sebenarnya blog ini masih dalam pengubahsuaian.. Sebab blog yang asal sebenarnya di sini; Berikanku Cahaya. Jadi, 'perpindahan' ke sini memerlukan saya menyesuaikan diri di blog baharu.

Tuesday, July 1, 2008

THE PAST [3]

PSIKO?


[Edisi Belum Edit]


Warkah yang diterima tanpa dipinta itu ditatap lama. Langsung dia menarik nafas panjang. Tiga pasang mata sedang memandangnya, menanti butir bicara. Suasana di antara Blok Rasional dan Blok Bestari sedikit hening. Dia merasakan tidak senang duduk di atas bangku simen yang separuh melengkung berwarna perang cerah; dapat memuatkan tiga orang di atas kerusi tersebut. Walaupun sedang enak duduk di bawah pohon yang rendang di samping angin menampar-nampar tubuh dengan lembut. Terdapat tiga buah lagi bangku melengkung yang sama seperti yang didudukinya mengelilingi sebuah meja simen bulat berwarna coklat pudar.


Di bawah pohon inilah tempat Ainil Yaqin, Darunee, Nasyitah dan Nadiah menghabiskan masa bersama-sama selepas tamatnya waktu persekolahan. Biasanya mereka akan membuat kerja sekolah yang diberikan oleh guru atau bergurau senda atau berbual-bual kosong.


"Saya rasa, biarlah kita terima apa yang dicadangkan oleh Kak Nurun," Nadiah bersuara perlahan memecah keheningan. Pelajar-pelajar yang lalu-lalang berhampiran Blok Rasional dan Blok Wawasan tidak menghiraukan mereka berempat yang lagaknya sedang mebincangkan sesuatu yang penting.


"Kamu berdua bertuah, dapat tawaran istimewa. Nanti, hari-hari dapat berdamping dengan Abang Amin. Wah, cemburunya!" bebel Nasyitah, perawan bertubuh kecil yang sering membuat onar. Darunee hanya membisu sedari tadi. Mungkin kurang memahami apa yang dibincangkan atau tidak ingin masuk campur.


"Jadual kita kan padat sekali tahun ni,"


"Qin, saya tahu dan saya faham. Kita semua akan menghadapi ujian penting tahun ini. Tapi apa salahnya kita menerima amanah ini dengan tujuan untuk berdakwah. Malahan kita tidak tahu di manakah destinasi kita untuk tahun hadapan berdasarkan keputusan peperiksaan kita.Tiada salahnya jika mencurahkan sedikit bakti untuk sekolah dalam mendidik kesedaran pelajar-pelajar lain," nasihat Nadiah.


Sekali lagi dia menjadi seperti orang bisu. Sedikit-sebanyak kata-kata Nadiah menusuk terus ke dalam hatinya. Da tidak dapat menidakkan kata-kata Nadiah. Lantas dia tunduk.


"Saya akan fikirkannya dahulu,"



** ** **




"Mak Nenek Berkerut!"


"Wah, serius bagaikan Menteri Pokok! Hahaha,"


Ainil Yaqin naik berang. Ingin sahaja memenggal kepala Cher Wei ketika itu. Usikan-usikannya selama ini dibiarkan berlalu tanpa protes. Namun entah mengapa, hari ini dia seakan tidak dapat menyesuaikan diri dengan gurauan peria tersebut.


Mungkin kerana kepalanya sekarang ini terlalu sarat dengan amanah dan perkara yang lebih penting untuk diselesaikan. Atau mungkin kerana dia memang tidak dapat menerima gurauan jejaka itu sebentar tadi.

Dia tidak pasti apakah raut imej wajahnya ketika ini. Yang pastinya, dia dapat mengesan yang Cher Wei di hadapannya ketika ini terdiam secara tiba-tiba. Wajahnya masih menunduk; menatap esei karangan Bahasa Inggeris yang dikarang olehnya sebentar tadi yang diberi oleh Madam Kwok kepada penghuni kelas mereka..


"Cher Wei, please don't disturb me! I'm busy now, can't you see?!"gumamnya, tertahan-tahan akibat menahan amarah. Dia tersengih sumbing apabila Ainil Yaqin menjelingnya sekilas. Inilah akibatnya duduk di belakang pelajar lelaki.


"Yes, I can see you,"


Ainil Yaqin tidak menghiraukannya. Dia terus mengarang esei tersebut tanpa menoleh walau sedikit. Darunee, perawan Cina yang berada di sebelah juga sedikit terasa terganggu. Darunee sedang membuat latihan Matematik, kerja sekolah yang diberikan oleh Cikgu Anisah lewat pagi tadi.


"Alicia, your boyfriend was disturbing us!" Darunee tiba-tiba bersuara lantang memanggil Alicia, gadis bermata kecil dan tinggi lampai di barisan belakang kelas.


"Boyfriend?" Cher Wei bertindak spontan membentak marah. Ainil Yaqin mengeluh.


Konsentrasi terganggu. Darunee bukannya menyelesaikan masalah tetapi menambahkan masalah yang ada. Ainil Yaqin mengerling Alicia, dia juga kelihatan endah tak endah; tidak mempedulikan kata-kata Darunee sebentar tadi. Aneh, adakah Cher Wei dan Alicia memang ada…


"Nini, tolong.." belum sempat dia mengahabiskan ayat, Cikgu Laili telah masuk ke dalam kelas bagi subjek Bahasa Melayu. Sekali gus pertelingkahan tidak diduga sebentar tadi dapat diuraikan.


Masa kian berlari..


Darunee, sedari tadi asyik diam. Sesi persekolahan telah berakhir. Di dalam kelas mereka ketika ini hanya dihuni oleh Ainil Yaqin, Darunee, Nadiah, Nasyitah, Delulah, Miriam, Faiz dan Fathir.


Delulah, gadis berbangsa India, berkulit gelap yang pendiam. Miriam pula juga merupakan seorang gadis berbangsa India dan beragama Kristian. Berlainan dengan Delulah, dia seorang yang ramah dan periang. Dia merupakan seorang yang berbakat dalam bermain piano dan gitar. Badannya besar, tinggi dan rambutnya ikal paras bawah telinga. Jika dilihat secara kasar mahupun mendalam, memang Miriam tidak sepadan dikatakan pelajar tingkatan tiga berdasarkan cirri-ciri fizikalnya.


Faiz, jejaka bermata kecil tetapi bulat merupakan ketua kelas mereka. Orangnya tinggi dan berkulit sawo matang. Rambut pendeknya sentiasa disisir kemas dengan belahan di tengah. Fathir atau 'Psiko' pula merupakan setiausaha kelas. Entahlah apa tugasan yang perlu dilakukan oleh seorang setiausaha.


"Ustazah Lapuk.. opss.. maksud saya, Yaqin.. Nasyitah panggil kau dekat pondok sana."


Inilah kali pertama si Psiko menegurnya dalam nada disaluti meyampah. Memang ayat dua bulan lepas itu terkunci kemas dalam kotak ingatannya.


"Semua ustazah yang expired memang bisu ke?"


Nah, ini ayat kedua yang terkeluar daripada bibirnya apabila pertemuan secara tak dirancang antara mereka apabila Ainil Yaqin langsung tidak mengucapkan apa-apa apabila jejaka itu dengan wajah yang tidak ikhlas + blur 'menolong' dia dan Nadiah mengangkat hamper-hamper besar dari Bilik Kaunseling ke satu-satunya dewan tertutup sekolah mereka, Dewan Wawasan. Mungkin jika tidak atas arahan Cikgu Tahar, dia takkan menonjolkan sifat 'baik hati'nya itu.


"Weh, tolong panggil si Lapuk belakang kau tu kejap,"


Panas telinganya apabila dipanggil sedemikian.


"Yaqin, Fathir panggil awak," Sheng pantas memberitahu. Ah, usah dikhabarkan! Da sudah 'terdengar' tadi.


Ainil Yaqin lantas bangun dan keluar dari kelas. Tidak ingin berbicara dengan orang psiko. Darunee ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga. Waktu itu waktu Sains, Cikgu Zunaini berada di Bilik Mesyuarat bersama kakitangan guru yang lain.


Ah, persetankan si psiko! Hampir hilang mood untuk belajar berkumpulan bersama teman-teman. Ainil Yaqin mengerling Fathir sekilas. Nampaknya dia sedang khusyuk membaca sesuatu, seperti sebuah majalah.


"Qin, buku teks sejarah awak mana?" soal Nasyitah serius.


Huh?


"Qin!"


"Ya?" jawabnya perlahan.


"Melayang ke mana tadi?"


"Tanjung Rambutan."


"HAH?!"



[bersambung..]